Anda di sini

Warga emas ditemukan rentung, rumah terbakar

Advertisement
 Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.
RENTUNG: Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Babagon, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 68 tahun yang tinggal bersendirian dan menghidap strok itu ditemukan selepas api berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di dalam sebuah rumah dan tidak terkesan sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pasukan bomba dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar di tempat kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, seramai lapan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian sejauh 11.3 kilometer.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati tiada laluan untuk jentera bomba masuk.

“Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki melalui jambatan gantung untuk menyeberangi sungai ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada sebarang kemerbahayaan lain wujud di lokasi kejadian,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement