
TUARAN: Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) akan mengadakan Kempen Derma Darah pada Khamis ini di Dewan SRA Pekan Tenghilan, di sini.
Kempen berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II dan Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli.
Penganjur, Rizkam Wenddy Yabin berkata, kempen itu adalah kali ketiga dilaksanakan selepas berjaya dianjurkan pada Februari dan Jun lalu.
Katanya, aktiviti berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebaikan amalan menderma darah.
“Kempen ini juga dilihat mampu menanam sifat keprihatinan dalam kalangan masyarakat dan perihal penderitaan insan yang memerlukan darah.
“Selain itu, kita juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat supaya tubuh badan tidak mudah diserang penyakit,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, berharap masyarakat di sini dapat hadir beramai-ramai untuk menderma darah pada hari berkenaan.
“Sokongan terhadap kempen ini dapat membantu hospital yang kekurangan bekalan darah dan sekali gus mampu menyelamatkan nyawa manusia,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, dijangka turut hadir bagi memberikan sokongan kempen berkenaan.