KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa terbuka dengan cadangan mahupun pandangan terutama sekali membabitkan teknologi dan ekonomi hidrogen (HETR).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata, ianya penting bagi memastikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hub hidrogen dan teknologi hijau terus berkembang.
"Sarawak ialah negeri yang proaktif di dalam inisiatif penjanaan dan pelaksanaan hidrogen hijau. Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) mensasarkan untuk Sarawak memulakan eksport hidrogen hijau secara besar-besaran menjelang tahun 2027.
"Di bawah fasa jangka masa pendek HETR (2023-2030), fokus pelaksanaan adalah untuk menerokai inisiatif hidrogen melalui projek-projek demonstrasi dan seterusnya memacu pasaran domestik dan juga eksport.
"Pelaksanaan ini juga akan didokong dengan polisi baru yang dapat memberi insentif kepada pihak-pihak yang berkepentingan untuk pembangunan ekosistem hidrogen. Strategi ini akan diperluaskan secara beransur-ansur berkonsepkan 'Build Some, Buy Some'.
"NanoMalaysia (NMB), sebagai agensi di bawah MOSTI, kini kerjasama dengan SEDC Energy, Sarawak dalam pelbagai bidang teknologi hidrogen seperti pembangunan Ground Power Units atau Unit Kuasa Darat (GPU) serta kenderaan berkuasa hidrogen untuk sektor aeroangkasa.
"GPU dan kenderaan hidrogen ini akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) untuk menggantikan GPU diesel yang sedia ada serta penggunaan kenderaan berkuasa hidrogen (Flight Pushback Tractor) untuk perkhidmatan sokongan darat, " katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Negara.
Mengulas lanjut, Arthur memberitahu MOSTI sentiasa terbuka untuk meneroka peluang menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan pemegang taruh di dalam sumber tenaga boleh diperbaharui berasaskan hidrogen berdasarkan prestasi cemerlang Sarawak dari segi teknologi dan ekonomi hidrogen.