Anda di sini

Malaysia ada kepakaran dalam R&D industri nadir bumi

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan


KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menawarkan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan nadir bumi dalam sektor huluan.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata antara khidmat yang ditawarkan itu melibatkan melibatkan proses ekstraksi, pemisahan dan penulenan terutamanya berasaskan mineral seperti monazite dan xenotime.


"Nuklear Malaysia mempunyai pegawai penyelidik yang mempunyai kelayakan dalam bidang kimia, fizik, geologi, geofizik, keselamatan dan kesihatan, pengurusan sisa serta kejuruteraan dan pengendalian loji.


"Pengalaman dan pengetahuan pegawai penyelidik Nuklear Malaysia di dalam aktiviti penyelidikan meliputi pengekstrakan unsur nadir bumi ringan (light rare earth element) iaitu cerium (Ce), lanthanum (La) dan neodymium (Nd).


"Pengekstrakan unsur nadir bumi berat (heavy rare earth element) iaitu yttrium (Y) daripada sumber mineral xenotime dan juga Kajian Keberadaan dan Sumber Unsur Nadir Bumi di Malaysia.


"Dalam menjalankan aktiviti R&D ini, Nuklear Malaysia turut bekerjasama dengan penyelidik tempatan daripada pelbagai insititusi seperti Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan beberapa universiti tempatan lain.


"Dengan wujudnya kerjasama antara agensi dan fasiliti penyelidikan di dalam bidang ini, lebih ramai kepakaran tempatan mampu diwujudkan dengan bilangan kepakaran mengkhusus dalam industri nadir bumi, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pakar luar negara, " katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Negara.

 
Empat Senator telah mengambil bahagian dalam usul perbahasan KSP RMKe-12 di Dewan Negara iaitu, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Senator Dr. Wan Wan Martina Wan Yusoff; Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dan Senator Norita Sual.


Mengenai kebimbangan terhadap pelepasan sisa air terawat daripada Loji Kuasa Nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, Kerajaan Malaysia telah membuat pemantauan aras sinaran berterusan dari masa ke semasa dengan menggunakan aset-aset di stesen-stesen pemantauan yang sedia ada sebagai langkah berjaga-jaga.


Berdasarkan rekod pemantauan termasuk data dari Stesen Pemantauan Air Gamma Spektrum (Gamma Spectrum Water Monitoring System – GSWMS) di Jeti UMS, Kota Kinabalu kata Arthur, tiada peningkatan aras sinaran yang ketara dikesan sejak dari pelepasan air terawat berkenaan.


"Keputusan Kerajaan Jepun melepaskan sisa air terawat di perairan melalui Advanced Liquid Processing System (ALPS) setelah mendapat penilaian terperinci dan pemantauan ketat oleh pihak berkompeten iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).


"IAEA dalam laporan yang telah dikeluarkan pada tahun 2023 bertajuk IAEA Comprehensive Report On the Safety Review of the ALPS Treated Water At the Fukushima Daiichi Nuclear Power Station menyatakan bahawa pelepasan sisa radioaktif ini ke Lautan Pasifik adalah mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa serta menyebabkan impak radiologi yang boleh diabaikan (tidak signifikan) kepada manusia dan alam sekitar.


"Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar tidak tercemar melalui pemantauan aras sinaran berterusan.


"Bacaan purata kadar dos sinaran sepanjang September 2023 yang direkodkan oleh JTA hanya sebanyak 3 nanoSievert/jam iaitu 500 kali lebih rendah daripada had kadar dos untuk orang awam, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement