
KOTA KINABALU: Sejumlah RM83.9 juta nilai pesanan belian diperoleh oleh 36 syarikat pengeluar orkid projek perintis Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) bagi tahun 2024 akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Orchidmas Sdn Bhd Shiz Mohammad Datuk Dr. Kassim berkata, daripada jumlah itu, setiap syarikat masing-masing menerima pesanan bernilai RM2.3 juta.
Katanya, syarikat-syarikat berkenaan juga memperoleh kontrak pembekalan selama lima tahun bernilai RM419.9 juta dengan setiap syarikat menerima kontrak bernilai RM11.6 juta.
“Orkid jenis Mokara akan dieksport ke Dubai dalam bentuk kotak hadiah dengan konsep sedia untuk Diperaga (Ready-to-Display) yang dapat meningkatkan nilai tambah orkid tersebut kepada pihak pengeluar.
“Syarikat saya juga terlibat dalam pengendalian setiap operasi logistik darat dan udara dari Malaysia ke Dubai bersama dengan rakan strategik, Emirates SkyCargo,” katanya.
Menurutnya, Orchidmas telah menubuhkan satu syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Orchidmas International LLC, Dubai yang berkolaborasi dengan CKS Foodstuff Trading LLC, Dubai.
Katanya, ia bagi melancarkan urusan penjualan dan promosi produk di Dubai melalui platform e-dagang, orchidmas.com.
“Pihak CKS kini ingin memperluaskan urus niaga mereka dengan membawa produk orkid Mokara ini ke Dubai.
“Dengan pesanan belian dan kontrak pembekalan lima tahun, pihak CKS telah merealisasikan keperluan 36 syarikat pengeluar berkenaan bagi tujuan pembiayaan projek LEOD ini melalui EXIM Bank,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan dokumen pesanan belian dan kotrak pembekalan di Cyberjaya, Kuala Lumpur, semalam.
Shiz berkata projek perintis LEOD melibatkan tiga ladang dengan jumlah keluasan 72 ekar iaitu LEOD Lukut, LEOD Linggi dan LEOD Sepang.
“Bagi LEOD Lukut, sebanyak lapan syarikat pengeluar yang terlibat di atas tanah milik pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Port Dickson seluas 18 ekar.
“Bagi LEOD Linggi pula, sebanyak lima syarikat pengeluar terlibat di bawah pajakan tanah yang diuruskan oleh Koperasi Sahabat Fulda Malaysia Berhad seluas 10 ekar.
“Manakala, bagi LEOD Sepang, pembangunan LEOD bagi 17 syarikat pengeluar di bawah pajakan tanah yang diuruskan oleh Koperasi Usahawan Alam Shah Berhad seluas 34 ekar,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat enam syarikat pengeluar yang menggunakan tanah persendirian di Jenjarom, Serendah dan Banting, Selangor; Lukut, Rembau, Negeri Sembilan, Jasin dan Melaka dengan jumlah keluasan 12 ekar.
Sementara itu, seorang pengusaha Normala Daud, 53, berkata, beliau menyertai projek LEOD kerana minat mendalamnya terhadap bunga orkid
“Ini adalah peluang untuk perkembangkan hobi saya kepada perniagaan yang menjana pendapatan lumayan.
“Saya mengumpul orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid sejak 26 tahun lalu dan ada yang masih hidup dan membiak sampai sekarang,” katanya.
Normala, kelahiran Hulu Langat, Selangor kini mengusahakan syarikat berasaskan teknologi maklumat serta pertanian menyertai projek LEOD di Lukut, Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Ketua Unit Florikultur, Seksyen Komoditi Bernilai Tinggi, Jabatan Pertanian, Ts. Nizam Malik yang membentangkan perancangan projek LEOD kepada para pengusaha berkata, nilai eksport industri florikultur negara dari tahun 2017 sehingga tahun 2021 adalah RM2.37 bilion.
“Berdasarkan kepada statistik industri florikultur dunia, Malaysia merupakan negara pengeksport ke sembilan pada tahun 2021 dengan nilai RM407.2 juta.
“Orkid adalah salah satu bunga-bungaan yang dieksport terutamanya ke Singapura dengan nilai purata tahunan sebanyak RM12.06 juta antara tahun 2017 sehingga 2021,” katanya.