
PAPAR: Selepas tular video rakaman seorang lelaki mencuri bateri kenderaan di sebuah bengkel dekat sini akhirnya suspek yang dipercayai warga asing itu berjaya diberkas.
Suspek yang berumur 27 tahun itu ditahan pihak polis di sebuah Rumah Pangsa Kinarut Jalan Lama Papar di sini kira-kira jam 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, sebelum ini rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan suspek mencuri bateri dengan membuka ruang enjin kenderaan di parkir berdekatan bengkel itu di Taman Limauan Kinarut.
Katanya, suspek dikesan melakukan kegiatan itu sebanyak dua kali iaitu pada jam 1.54 pagi 16 September dan jam 11 malam pada Sabtu lepas.
Menurutnya, kejadian itu disedari oleh pemilik bengkel berkenaan ketika hendak memulakan kerja membaiki kenderaan milik pelanggan kira-kira jam 11 pagi pada Sabtu.
"Hasil semakan CCTV mendapati suspek mencuri bateri itu dari kereta yang parkir di kawasan belakang bengkel.
"Setakat ini barang yang hilang hanya bateri kenderaan pelanggan dan laporan polis dibuat oleh pemilik bengkel untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan dibantu polis Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Kinarut membuat serbuan di rumah terbabit dan menangkap suspek.
Katanya, pihak polis membuat pemeriksaan dalam rumah dan menahan suspek serta merampas barangan seperti senjata parang, satu bateri kenderaan disyaki dicuri dan beberapa helai pakaian.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.
"Suspek akan dipohon reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan curi.
"Orang awam khususnya di daerah ini dinasihatkan supaya menyampaikan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222," katanya.
Beliau turut meminta orang awam supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya ternampak mana-mana individu yang mencurigakan dan pemilik premis digalakkan untuk memasang kemudahan keselamatan CCTV untuk membantu pasukan polis," katanya.