
LAHAD DATU: Suspek yang disyaki menetak seorang kanak-kanak sehingga maut di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, di sini, berjaya ditahan, semalam.
Suspek warga asing berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan Polis Bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41, kira-kira jam 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak di atas maklumat mengenai kejadian itu, Polis Bantuan Felda mempertingkatkan rondaan kawasan berkenaan.
“Hasilnya, Polis Bantuan Felda berjaya mengesan suspek yang dikehendaki itu di dalam kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kemudian telah membuat tangkapan semula suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, soal siasat sehingga suspek mendedahkan lokasi tersimpannya senjata berupa parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu.
“Susulan pendedahan itu, polis menemukan dan merampas sebilah parang yang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.
“Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dalam anggaran dua kilometer manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata parang ditemukan dalam anggaran hampir 2.5 kilometer,” katanya
Sementara itu, Dr Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.
“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek terbabit dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian 7.30 pagi Sabtu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh suspek iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30.
Mangsa warga asing itu ditinggalkan oleh ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit berkenaan.