Anda di sini

Perpaduan rakyat tentukan masa depan negara

Advertisement
 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Pei Wen Ranau menerima sumbangan dalam majlis berkenaan.
SUMBANGAN: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Pei Wen Ranau menerima sumbangan dalam majlis berkenaan.

RANAU: Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama dapat menentukan masa depan serta Pembangunan yang lebih baik di negara ini.

Menteri Kewangan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kepelbagaian kaum dan agama adalah kekuatan yang ada di negeri ini.

Katanya, masyarakat majmuk di Sabah boleh dijadikan model perpaduan kerana ia dapat membina keharmonian dan dapat mengajar banyak nilai-nilai positif.

“Semua rakyat perlu saling menerima antara satu sama lain kerana ia adalah nadi perpaduan dan kesejahteraan di negara ini.

“Marilah kita sama-sama mengekalkan nilai-nilai murni itu dan jangan biarkan ada pihak yang mengganggu keharmonian yang dikecapi hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Majlis Larian Obor anjuran Persatuan Tionghua Ranau di Dewan Hakka Ranau pada Isnin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Likas, Tan Lee Fatt.

Masidi yakin penganjuran majlis ini dapat menyatukan semua kaum dalam menghayati semangat budaya masyarakat Tionghua.

“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini dan saya berharap ia dapat mencapai matlamatnya.

“Semoga obor yang akan dibawa ke Puncak Gunung Kinabalu selamat sampai ke destinasi, sekali gus menjadi simbol sinar baharu yang membawa kehidupan lebih baik,” katanya.  

  Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hakka Ranau Datuk Dr. Kapitan Jimmy Tham Yuk Leong berkata, Majlis Larian Obor Ranau ini bersempena sambutan Pesta Kebudayaan Tionghua peringkat Nasional kali ke-38.

“Larian obor ini akan mencatatkan sejarah tersendiri dengan mengangkat dan memartabatkan budaya warisan kaum Tionghua.    

“Walaupun berbeza cara hidup dan budaya, namun sikap hormat-menghormati dapat mencari titik persamaan dalam membentuk Malaysia Madani,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement