

Oleh: Frankie Latit
Pengenalan
Fenomena anak muda membawa pembaharuan dalam sastera seiringan dengan perubahan zaman bukan perkara baharu. Semua ini terjadi bertitik tolak daripada setiap zaman memiliki cabaran tersendiri. Oleh hal yang demikian, usaha untuk meneruskan legasi kejayaan penulis muda terdahulu memerlukan sasaran dan tujuan pengkaryaan yang jelas. Ia harus disesuaikan dengan tuntutan dan kehendak zaman.
Maka, menurut Rasiah Halil (2004), kebanyakan pergerakan sastera kerap dimulakan oleh anak-anak muda yang yakin apa yang mereka persembahkan membawa erti kepada diri dan persekitaran mereka.
Di Amerika Syarikat misalannya, telah wujud apa yang disebut sebagai Harlem Renaissance dari tahun 1917 sehingga 1935. Pergerakan ini dipelopori oleh penulis-penulis muda kulit hitam (Afrika-Amerika). Pergerakan ini muncul akibat daripada harga diri dan perjuangan golongan mereka yang rata-ratanya dipinggirkan oleh penulis-penulis arus perdana di Amerika Syarikat ketika itu. W.E.B. Du Bois, Langston Hughes, Zora Heale Hurston, Helene Johnson dan Wallace Thurman adalah antara penulis yang digolongkan dalam kumpulan ini.
Di Indonesia, kemunculan Angkatan 45 diikuti oleh Angkatan 66. Antara penulis-penulis yang pernah bernaung di bawahnya ialah Taufiq Ismail, Subagio Sastowardojo, Goenawan Muhammad, W.S. Rendra, Ajip Rosidi, Abdul Hadi W.M., Toeti Heraty, Sapardi Djoko Damono, Sutardi Calzoum Bachri dan lain-lain. Sementara itu, mutakhir ini muncul pula angkatan yang menggolongkan anak-anak muda Indonesia dengan nama Angkatan 2000. Penulis Angkatan 2000 ini terdiri daripada Acep Zamzam Noor, Afrizal Malna, Ayu Utami, Helvy Tiana Rosa, Jamal D. Rahman, Dorothea Rosa Herliany, Seno Gumira Ajidarma dan lain-lain. Kemunculan golongan ini dikatakan terjadi akibat daripada mereka memiliki pandangan berbeza-beza tentang pengkaryaan. Sungguhpun demikian, situasi ini dianggap membawa satu lagi nafas baharu bagi kesusasteraan Indonesia.
Di Singapura dan Malaysia, satu-satunya angkatan anak muda yang menggugah dunia kesusasteraan Melayu ialah Angkatan Sasterawan 50. Diilhami oleh Angkatan 45 Indonesia, kumpulan anak muda ini pada mulanya terdiri daripada 19 orang sahaja. Antara yang berhimpun di rumah MAS pada 6 Ogos 1950 untuk menubuhkan sebuah persatuan sastera tersebut ialah Mas, Hamzah, Masuri S.N., Keris Mas, Awamil Sarkam, Rosmera, Jymy Asmara dan lain-lain. Pendaftarannya diterima oleh pihak kerajaan pada 22 Jun 1951. Pergerakan dan perjuangan mereka pada tahun 50-an dan awal 60-an banyak memberi manfaat kepada dunia sastera, pendidikan dan perjuangan orang Melayu ketika itu. Dengan cogan kata Seni Untuk Masyarakat, tidak dapat dinafikan bahawa pembaharuan yang dibawa anak-anak muda ini merangsang pemikiran baharu terhadap peranan sastera dalam masyarakat ketika itu.
Menurut Rasiah Halil (2004), gelombang masa menuntut suara atau bentuk pengucapan seni yang berbeza. Ia bersesuaian dengan perubahan aspirasi dan denyut nadi masyarakat itu sendiri. Oleh hal yang demikian, makalah ini cuba meninjau secara ringkas perkembangan penulis muda Sarawak dalam meneruskan legasi kejayaan penulis muda terdahulu dalam bidang sastera, lebih-lebih lagi dalam kalangan penulis muda Sarawak mutakhir ini yang karyanya pernah tersiar dan diulas oleh penulis mapan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS). Ruangan ini memang khas disediakan untuk menampung karya penulis muda di Bumi Kenyalang.
Walau bagaimanapun, tinjauan ini dihadkan kepada dua orang penulis muda Sarawak sahaja. Kita sedia maklum, ramai penulis muda Sarawak sedang meningkat naik di persada sastera mutakhir ini. Antaranya Shield Sahran, Faizal Jarawi, Benedict Samling, Benjamin Asin, Adam Buck Lee, Jawa Manggau, Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi. Kedua-dua penulis cerpen yang dipilih sebagai subjek kajian ialah Lokman Hakim dan Clayton Robert.
Penulis Muda dan Karya Sastera
Penulis Muda
Menurut Dilah Tuah (2016), istilah penulis muda atau karyawan muda, tidak pernah menemui titik definisi lengkap. Walaupun perkataan muda lebih merujuk kepada yang golongan remaja, akan tetapi dalam konteks penulisan, penulis muda tidak semestinya penulis remaja. Penulis tidak lahir sekali dengan perkembangan usianya, tetapi diukur selama penglibatannya dalam dunia kesusasteraan.
Di sisi lain, penulis muda turut dikaitkan dengan penulis remaja. Hal ini dikatakan demikian sehingga memungkinkan istilah Minggu Penulis Remaja (MPR) telah digunakan dalam acara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1985. Sementara itu, di Sarawak, penulis muda diterima dengan maksud penulis yang masih baharu dalam bidang penulisan (Dilah Tuah, 2016).
Bagi Mana Sikana (2021), polemik terjadi dan berlanjutan bagi mendefinisikan penulis muda. Sungguhpun demikian, bicara bagaimana mendewasakan penulis-penulis muda ini lebih penting lagi. Justeru, pengarang pelapis inilah yang akan mewarnai wajah sastera Malaysia pada masa hadapan.
Karya Sastera
Secara definisi, karya bermaksud ciptaan. Sastera pula membawa maksud bahasa yang digunakan dalam sebuah seni. Dapat disimpulkan bahawa karya sastera merupakan sebuah penulisan yang dihasilkan mengikut sesuatu bentuk kesenian. Sebagai contoh, karya sastera bahasa Melayu terdiri daripada prosa, iaitu hasil kesusasteraan yang ditulis dalam tatabahasa mudah seperti novel dan cerpen. Sastera bahasa Melayu juga terdiri daripada puisi yang merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan tidak menuruti tatabahasa seperti sajak, syair, pantun dan gurindam.
Rasiah Halil (2004) pula berpendapat bahawa karya-karya sastera bukan sahaja mampu mencerminkan kedudukan atau taraf pencapaian kehidupan penulis dan masyarakatnya. Pada masa yang sama ia merupakan cerminan suara atau hasrat penulis juga masyarakat terhadap kedudukan mereka sendiri. Ini tampak jelas dalam karya-karya besar dunia, yang juga membuktikan bahawa sastera merupakan suatu bentuk pengucapan manusia yang unik dan penting jika dibandingkan dengan bentuk pengucapan manusia yang lain. Menyedari potensi inilah karya-karya sastera dari awal sejarah tamadun manusia lagi telah dijadikan sebagai alat untuk memenuhi tujuan-tujuan tertentu. Antaranya seperti tujuan pendidikan mahupun tujuan politik. Karya-karya sastera ini juga menjadi alat dokumentasi dan bahan kajian yang berguna dan penting untuk menilai dan mengikuti perkembangan sesuatu masyarakat. Tanpanya, kajian itu tidak akan menyeluruh dan lengkap kerana suara batin atau jiwa masyarakat itu telah dikesampingkan.
Penulis Muda Sarawak Menyerap Cabaran dan Menerkap Sasaran
Di Amerika Syarikat pernah wujud The Beat Generation, iaitu kumpulan anak muda yang muncul pada akhir tahun 40-an. Ia sebahagian daripada tindak balas anak-anak muda yang marah-marah dan menyoal etika dan pandangan hidup masyarakat mereka setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua. Antara penulis yang tergolong dalam golongan ini ialah Jack Kerouac, Allen Ginsberg, William Burroughs, Gary Snyder, Diane Di Prima dan lain-lain.
Dengan semangat anak muda yang mahu menyoal banyak perkara, di Britain misalnya, John Osborne melahirkan drama Look Back in Anger pada tahun 1956. Penulisnya dianggap sebagai an angry young man. Sekali gus memunculkan generasi yang digelar angry young men (termasuk wanita) di Britain kemudian. Semangat untuk merubah sesuatu dan membawa semacam pembaharuan memungkinkan kemunculan kumpulan-kumpulan penulis ini yang secara keseluruhannya terdiri daripada anak-anak muda.
Di Indonesia, kehuru-haraan revolusi di Indonesia selepas Perang Dunia Kedua telah melahirkan Angkatan 45. Pelopornya ialah Chairil Anwar. Golongan anak muda lain yang menganggotainya terdiri daripada Asrul Sani, Mochtar Lubis, U. T. Sontani, Pramaoedya Ananta Toer, S. Rukiah, Rivai Apin, Sitor Situmorang, Idrus, Bahrum Rangkuti, Bakri Siregar, Balfas dan lain-lain. Malah dalam “Surat Kepercayaan Gelanggang” yang terbit pada 18 Februari 1950, nafas perjuangan penulis-penulis muda ini terang-terang dinyatakan mahu menyejagatkan sastera.
Berbeza pula isunya dengan Asas 50. Isu cogan kata Seni Untuk Masyarakat dan Seni Untuk Seni antara Asraf dan Hamzah telah memecahbelahkan sebilangan anggota Asas 50. Dengan diketuai oleh Hamzah, beberapa orang ahlinya bertindak keluar daripada Asas 50. Kemudian kumpulan penulis muda ini yang terdiri daripada Hamzah, Rosmera, M.S. Haliza, A. Salam Ayub, Aebe Muara, Amin Jaya, A, Ghani Hamid dan lain-lain bertindak menubuhkan Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru. Pendaftarannya berjaya dilakukan pada 16 September 1954. Namun persatuan anak-anak muda ini tidak dapat bergerak aktif seperti Asas 50. Mereka berdepan dengan cabaran dan kekangan tersendiri. Antaranya termasuklah kurang mendapat tempat di akhbar dan majalah yang rata-ratanya menyebelahi penulis-penulis Asas 50 ketika itu.
Meneliti situasi yang dialami penulis-penulis muda di dalam dan luar negara, boleh dikatakan bahawa cabaran dan tekanan didepani penulis muda Bumi Kenyalang mutakhir ini terlihat sedikit terkebelakang. Sungguhpun sedemikian, bukan bermakna penulis-penulis muda ini sedang duduk dengan selesa di kancah dunia sastera semasa. Biarpun tidak lagi berdepan dengan situasi huru-hara peperangan hingga mencetuskan revolusi dalam pengkaryaan, mereka tetap terdedah dengan situasi ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial.
Menurut Dilah Tuah (2016), persoalan ruang dan peluang yang kerap kali dilontarkan oleh penulis muda Sarawak suatu ketika juga sudah tidak timbul lagi pada masa kini. Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah menyediakan ruang yang cukup besar untuk menampung karya penulis muda. Ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) sahaja telah berjaya membuat siaran di akhbar bercetak dan dalam talian sebanyak 49 kali pada tahun 2022. Daripada 49 siaran tersebut, sebanyak 72 buah puisi, 25 buah cerpen dan 49 ulasan telah disiarkan dengan jayanya.
Usaha giat WBS dalam membangunkan bakat penulis muda saban tahun juga berjaya mengenal pasti 36 orang penulis baharu pada tahun 2022. Enam buah karya pada tahun 2021 telah berjaya menerima pengiktirafan untuk Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2021/2022. Seramai 18 orang penulis aktif dan penulis baharu dalam ruangan WBS telah dipilih menyertai Bengkel Terampil WBS 2022 berdasarkan cadangan pembimbing. Tiga orang penulis daripada ruangan ini kemudian diangkat dan karya mereka pun disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) mulai tahun 2023. Ketiga-tiga penulis muda tersebut ialah Benedict Samling, Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar dan Jawa Manggau. Paling mengesankan, tujuh orang daripada penulis muda ini berjaya menempatkan karya mereka di majalah Tunas Cipta pada tahun sama.
Dengan meneliti hal tersebut, adakah boleh dikatakan bahawa cabaran dan sasaran penulis muda Bumi Kenyalang mutakhir kian memudar? Bagi menjawab persoalan ini, tulisan Abang Patdeli Abang Muhi yang bertajuk “Prospek Penulis Muda Sarawak” bertarikh 24 April 2001 dalam ruangan YIIB perlu dirujuk semula. Menurut beliau, penulis muda telah diberi ruang yang secukupnya untuk mengembangkan dan memajukan kreativiti bakat seni mereka, sesuai dengan dasar, prinsip, etika dan norma yang disediakan. Justeru, terpulang kepada penulis muda memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk menempatkan diri mereka dalam dunia kesusasteraan di Sarawak.
Sungguhpun demikian, Abang Patdeli Abang Muhi (2003) dalam tulisan bertajuk “Perihal Muda dan Kemudaan” yang tersiar di ruangan YIIB, dengan lantang mengingatkan penulis muda tentang cabaran sebenar menghasilkan karya-karya yang baik, bermutu dan tinggi nilai seninya. Apatah lagi bagi beliau, penulis tanpa melihat statusnya, harus mempunyai tanggungjawab untuk memanusiakan manusia melalui pemikiran, pandangan, saranan, ilham, idea dan falsafah yang teradun dalam karya sastera.
Hal ini ternyata disokong oleh Ja’afar Hamdan dalam tulisan bertajuk “Ke Mana Arah Penulis Muda Sarawak”. Beliau percaya bahawa setiap penulis muda tidak boleh tidak akan berdepan dengan cabaran mencari jati diri penulisannya. Ia penting agar mereka mampu menempatkan diri dalam kelompok penulis Sarawak.
Berdasarkan penelitian terhadap perkembangan Lokman Hakim dan Clayton Robert, ternyata penulis muda Sarawak mutakhir ini dilihat mampu menyerap cabaran sekali gus menerkap sasaran dalam bidang sastera. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-duanya berupaya mengikut jejak langkah kejayaan penulis-penulis muda terdahulu yang kini bergelar penulis mapan.
Lokman Hakim yang merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan sejak tahun 2007 ternyata berupaya menghasilkan cerpen yang keluar daripada ruangan WBS. Tidak cukup dengan itu, beliau yang aktif menulis bermula dari tahun 2014 hingga kini turut berjaya menulis berpuluh-puluh buah novel, beberapa kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan buku motivasi.
Cerpen Lokman Hakim yang berjudul “Pengap” juga pernah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpen lainnya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung” pula telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Selain itu, beliau turut memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 dengan cerpen berjudul “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Cerpen-cerpen lain beliau kerap memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.
Sementara itu, Clayton Robert yang berasal dari Serian dan berketurunan Bidayuh telah meneruskan legasi pencapaian penulis muda Sarawak dengan cara tersendiri. Artikel pertama tulisan beliau berjaya tersiar di Dewan Siswa pada tahun 2009. Kemudian disusuli pula dengan tersiarnya cerpen serta puisi beliau di Mingguan Malaysia, Berita Harian, Utusan Malaysia, Utusan Borneo, Sinar Harian, Utusan Online, Tunas Cipta dan Utusan Sarawak.
Sehingga kini, Clayton Robert berjaya menerbitkan dua buah novel. Novel pertamanya berjudul Cinta Langgi telah diterbitkan oleh Penerbitan Ilham Pesona pada tahun 2017. Novel Dayung Kumang pula terbit pada tahun berikutnya oleh UUM Press Kreatif.
Sepanjang bergelar penulis muda, Clayton Robert telah berjaya meraih beberapa anugerah dalam bidang sastera. Antara hadiah yang diterima oleh beliau ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Kategori Cerpen Remaja) pada tahun 2017, Hadiah Sastera Penulis Sarawak (Kategori Cerpen) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Kategori Cerpen) yang kedua-duanya diperoleh pada tahun 2019 melalui cerpen berjudul “Penjaga Piala”. Cerpen ini tersiar di Mingguan Malaysia pada 8 Julai 2018.
Sama seperti penulis muda terdahulu, penulis muda Sarawak mutakhir ini dilihat turut terdedah dengan perjalanan yang mencabar sebagai penulis muda di Bumi Kenyalang. Seperti sedia maklum, cabaran dan sasaran sentiasa terbentang luas di dalam bidang sastera. Tinggal sahaja penulis-penulis muda ini mahu atau tidak mencuba kemampuan diri hingga ke peringkat ASEAN dan seterusnya antarabangsa. Antara yang boleh dicuba untuk mencabar kemampuan diri dalam menghasilkan karya adalah menghantar karya ke sayembara MASTERA, Hadiah Cerpen Komanwel, Man Booker Prize dan banyak lagi.
Kesimpulan
Menurut Mohamad Faizal Jamil (2023) dalam tulisan bertajuk “Menelusuri Perjuangan Karyawan melalui Sejarah Persatuan Penulis di Sarawak” yang terbit di ruangan YIIB, kesusasteraan Melayu di Sarawak mula bertapak apabila terbitnya Hikayat Panglima Nikosa karangan Ahmad Shawal Abdul Hamid pada tahun 1876. Karya ini membuktikan bahawa sejarah sastera sudah lama wujud di Sarawak.
Lantaran itu tidak hairanlah bahawa legasi penulis muda Bumi Kenyalang kekal bertahan sehingga kini. Hal ini ditambah lagi dengan usaha berterusan pelbagai pihak dalam membantu menggalakkan kemunculan penulis-penulis muda. Dalam keghairahan melahirkan penulis muda, perlu juga diingatkan bahawa pujian yang diberikan kepada penulis-penulis muda ini haruslah diseimbangkan.
Hermann Hesse, penulis Jerman-Swiss, pernah mengingatkan hal tersebut ketika menasihati seorang penulis muda mengenai dunia penulisan. Pujian yang diberikan terlalu tinggi kepada penulis muda dengan menganggap mereka golongan pelapis atau publisiti yang terlalu besar diberikan kepada mereka boleh menjadi “racun” bagi penulisan mereka.
Demikian juga halnya jika mengkritik semua karya penulis muda sebagai “hampas”. Pandangan sebegini tentu sahaja tidak membantu penulis-penulis muda ini. Maka, pilihan terbaik adalah memastikan keseimbangan antara kedua-duanya. Hal ini termasuklah cabaran dan sasaran yang disandarkan di bahu mereka.
Rujukan
Abang Patdeli Abang Muhi. “Prospek Penulis Muda Sarawak” dlm. Utusan Borneo, 24 April 2001.
Abang Patdeli Abang Muhi. “Perihal Muda dan Kemudaan” dlm. Utusan Borneo, 2003.
Dilah Tuah. “Gagasan dan Harapan Penulis Muda Sarawak” dlm. Utusan Borneo, 19 September 2016.
Mana Sikana. “Penulis Muda Akan Dewasa” dlm. https://www.sinarharian.com.my/article/150660/khas/pendapat/penulis-muda..., 18 Julai 2021.
Mohamad Faizal Jamil. “Menelusuri Perjuangan Karyawan melalui Sejarah Persatuan Penulis di Sarawak” dlm. Utusan Borneo, 17 April 2023.
Rasiah Halil. “Penulis Muda dan Sastera” dlm. Berita Minggu (Singapura), November 2004.
https://srianggerik.wordpress.com/2020/03/10/penulis-muda-dan-sastera-di...

