
TAWAU: Kerajaan akan memastikan semua rakyat di negeri ini tanpa mengira latar belakang dapat menikmati hasil negara secara sama rata, adil dan saksama.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, semua rakyat tidak akan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara ketika ini.
Katanya, bersesuaian dengan tema Hari Malaysia ‘Segulai Sejalai’ yang membawa maksud ‘berjalan seiringan’ akan memastikan rakyat pelbagai kaum dan agama akan diberikan perhatian sepenuhnya.
“Hasrat kerajaan sememangnya mahukan semua rakyat dapat merasai pembangunan dan hasil negara tanpa ada yang terkecuali.
“Dalam kita mahu membina wawasan di negara ini, seharusnya semua rakyat dapat memperolehi kehidupan yang lebih baik dan stabil,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika menyaksikan penyampaian sumbangan korporat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada lima gereja, di sini hari ini.

Menurutnya, sumbangan korporat SESB kepada rumah ibadat ini menandakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga turut sama menyumbang terhadap pengukuhan perpaduan di negara ini.
Dalam pada itu, Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, inisiatif ini patut disokong dan dicontohi oleh semua syarikat GLC dan swasta lain supaya keamanan di negara ini dapat dikekalkan.
“SESB bukan sahaja berperanan memastikan bekalan elektrik di negeri ini berada dalam keadaan yang baik, tetapi agensi ini turut membantu terhadap keharmonian kaum dan agama.
“Saya berharap supaya lebih banyak lagi agensi kerajaan dan swasta tampil menyalurkan bantuan terutamanya melibatkan rumah ibadat,” katanya.
Suryady optimis bahawa hubungan baik antara SESB dengan Pejabat Parlimen Kalabakan dapat dikekalkan terutamanya dari segi penyaluran bantuan kepada rakyat.
“Banyak program kolaboratif sudah dilakukan bersama SESB sebelum ini dan ia berjalan dengan jayanya, disamping mencapai matlamat yang diingini,” katanya.
Terdahulu, bantuan itu diberikan kepada Gereja Anugerah Hidup Luasong, Gereja St Matias Kalabakan, Gereja St Gabriel Kalabakan, Gereja ST Agustine Merotai dan Gereja Baptis Merotai.
Turut hadir, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim; PPM DUN Merotai, Jailani Chachu dan Pegawai Eksekutif SESB Zon Selatan, Sanial Haseng.