
TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta supaya segerakan peruntukan yang telah dijanjikan bagi menyelesaikan masalah infrastruktur di negeri ini.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata banyak pengumuman yang telah dibuat untuk meningkatkan infrastruktur dan menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Namun, katanya, sehingga ke hari ini belum ada lagi peruntukan dan usaha yang dibuat dalam bentuk fizikal terutamanya di Parlimen Kalabakan.
“Masalah seperti kemudahan air bersih, banjir, jalan raya, sekolah dan banyak lagi masih membelenggu rakyat di Kalabakan ketika ini.
“Justeru, saya mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menyegerakan peruntukan yang telah dijanjikan supaya masalah ini dapat diatasi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika ditemui media, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung, di sini hari ini.
Menurutnya, rakyat Sabah sangat berharap Kerajaan Madani dapat membuat perubahan di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita tidak mahu ia hanya pengumuman sahaja kerana rakyat sudah mula bersuara dan menuntut janji yang telah dibuat untuk Sabah.
“Rakyat sudah memberi sepenuh kepercayaan dengan kepimpinan hari ini supaya boleh membangunkan semua kawasan di Sabah.
“Jangan sampai rakyat bosan menunggu perubahan yang dijanjikan oleh kerajaan sehingga keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.
Sementara itu, berhubung soal pendidikan pula, Suryady berkata, pihaknya sudah dijanjikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa sekolah daif di Parlimen Kalabakan akan diberi keutamaan.
Katanya, masih banyak lagi sekolah daif di Parlimen Kalabakan yang perlu dinaik taraf kerana keadaannya sudah tidak selamat untuk pelajar.
“Bayangkan sudah tahun 2023, masih banyak sekolah di sini menggunakan bangunan kayu, malah ada yang masih menumpang seperti di Serudong Laut.
“Saya sangat mengharapkan supaya sekolah daif di Parlimen Kalabakan dapat diambil perhatian dengan segera demi kemajuan modal insan di negeri ini,” katanya.