
SANDAKAN: Kenaikan harga cukai pintu di sini perlu ditangguhkan memandangkan masyarakat masih menerima kesan pandemik COVID-19.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, tidak dinafikan perkara itu akan membebankan penduduk di sini dan mereka membantah terhadap kenaikan itu.
"Pandemik COVID-19 sebelum ini telah menjejaskan ekonomi negara dan banyak perniagaan besar dan kecil menerima impak negatif, ada dalam kalangan peniaga telah tutup kedai.
"Untuk komuniti peniaga di sini, mereka juga terjejas termasuklah para penduduknya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chew turut menjelaskan beliau baru-baru ini telah memeriksa cadangan cukai pintu di rumahnya sendiri dan mendapati telah diturunkan sebanyak RM37.85.
"Persoalannya kini, adakah cukai pintu yang dikenakan kepada saya sebelum ini adalah caj berlebihan.
"Kini, pemilik rumah atau bangunan perlu membayar RM5 untuk mendapatkan borang bantahan sekiranya mahu membuat bantahan.
"RM5 mungkin dilihat kecil tetapi ini bukan masa sesuai untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada orang awam atau merumitkan proses orang ramai membuat aduan," katanya.
Beliau berkata, pihak berwajib perlu memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada para pemilik rumah dan bangunan seperti sentiasa menyelenggara sistem perparitan, jalan raya, lampu jalan, memotong rumput, membersihan jalan bandar, memungut sampah di rumah dan dikedai serta sebagainya.
Katanya, pada akhir 2021 dan awal 2022 terdapat banyak taman serta kedai mengalami masalah longgokan sampah disebabkan pihak yang diberikan amanah untuk melaksanakan tugas memungut sampah telah tamat kontrak.
"Pihak berwajib sepatutnya membuat persediaan untuk meneruskan kontrak berkenaan atau membuka tender enam bulan lebih awal dan bukannya menunggu sehingga kontrak berkenaan tamat.
"Saya mencadangkan agar ketua jabatan berkaitan bersama-sama saya dan pemimpin tempatan yang lain turun padang melihat sendiri keadaan di Sandakan untuk lebih memahami perkara yang berlaku di sekitar bandar ini.
"Saya mencadangkan kenaikan harga cukai pintu perlu ditangguhkan buat masa ini sehingga perkhidmatan yang diberikan pihak berwajib berada ditahap yang memuaskan," katanya.