Anda di sini

IPD Kudat giat kawal keselamatan di darat dan perairan

Advertisement
 Mohd Haris (tujuh kanan) semasa mengadakan lawatan bersama pasukan IPD Kudat turut merakam kenangan dengan penduduk kampung.
LAWATAN: Mohd Haris (tujuh kanan) semasa mengadakan lawatan bersama pasukan IPD Kudat turut merakam kenangan dengan penduduk kampung.

KUDAT: Usaha untuk  menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat sebagai sebuah organisasi yang relevan, tugas mengawal keselamatan dan ketenteraman awam setiap masa di kawasan daratan dan perairan daerah itu terus giat dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Kudat Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa memastikan kehadiran anggota pasukan keselamatan  agar dirasai oleh masyarakat setempat.

Katanya, rondaan terus dilakukan tanpa mengira siang dan malam di lokasi strategik bagi memastikan penduduk terus menjalani kehidupan seharian dengan aman damai dan selamat tanpa dihimpit perasaan takut atau bimbang.

Beliau berkata, dalam memastikan tujuan itu tercapai, kerjasama utuh dalam kalangan warga IPD Kudat sangat diperlukan agar tanggungjawab serta tugas dapat dijalankan sebaiknya.

"Menerusi komitmen dan kesepakatan kukuh itu, visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat direalisasi seterusnya memastikan IPD Kudat dipacu ke tahap terbaik.

"Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota pasukan keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik, lawatan ke pos kawalan hadapan turut dibuat selain rondaan di kawasan pulau," katanya.

Mohd Haris berkata demikian selepas mengetuai sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Polis Kudat  dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, membuat rondaan dan lawatan ke pulau-pulau di bawah tanggungjawab IPD Kudat di sini pada 15 dan 17 September lepas.

Sempena dengan lawatan ini, beliau berjumpa dengan petugas-petugas di pos berkenaan bagi melihat sendiri keadaan penugasan dan memastikan pos yang terlibat sentiasa dilawat.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan semua petugas berada dalam keadaan siap siaga untuk keadaan pulau-pulau di daerah ini sentiasa dalam keadaan selamat.

Pada masa sama jelasnya, pihak polis turut mengadakan turun padang bagi menyantuni penduduk di kawasan pulau dalam program polis kemasyarakatan atau Polis Komuniti, sejajar dengan cogan kata 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

"Dengan pendekatan ini, kita berharap masyarakat di kawasan pulau memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat ataupun apa juga kesalahan jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka.

"Rondaan berterusan terus diperhebatkan di kawasan perairan berhampiran sempadan antarabangsa, bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan sentiasa dalam keadaan yang baik," jelasnya.
 

Advertisement