
KOTA MARUDU: Food Aid Sabah (FAS) meneruskan misi mengagihkan bantuan kepada murid sekolah dari keluarga kurang berkemampuan di Sekolah Rendah Advent Damai Kota Marudu baru-baru ini.
Pengerusi FAS Darren Liew berkata, bantuan yang diagihkan itu adalah sumbangan dan kerjasama daripada syarikat MTT Shipping.
“Misi ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah dan Lion Club Kota Marudu.
“Kita juga merakamkan penghargaan kepada syarikat MTT Shipping kerana sekali lagi menaja bahan keperluan untuk misi kemanusiaan kali ini.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam misi bantuan berkenaan. Turut hadir memberikan kerjasama Penasihat Tertinggi FAS, Datuk Winnie Lee.
Menurutnya, FAS akan terus komited membantu golongan memerlukan di negeri ini dengan bantuan-bantuan daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Orang ramai atau agensi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi FAS di talian 016-2200520 atau melayari laman sosial Facebook FAS https://www.facebook.com/ FoodAidSabah,” katanya.