
PENAMPANG: Usaha memartabatkan Bahasa Kadazan Dusun dalam pendidikan negara adalah perjuangan peribadi yang dipegang oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ahli Parlimen Penampang ini menyifatkan perjuangan memartabatkan bahasa sebagai satu usaha yang sentiasa dekat di hatinya.
Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama 'Kadazan Dusun Language Foundation' (KLF) menganjurkan Karnival Bahasa Kadazan Dusun (BKD) dan Pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazan Dusun Tahun 5 dan 6.
"Syabas kepada KLF, YBR, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan pasukan penerbitan kerana berjaya menerbitkan modul buku kerja ini.
"Usaha ini seterusnya menambah bahan-bahan sokongan bagi memenuhi keperluan guru-guru dan para murid BKD di sekolah-sekolah seluruh Sabah.
"Di kesempatan ini, saya juga ingin berkongsi berita gembira iaitu, pelajar yang mengambil kertas Bahasa Kadazan Dusun dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan prestasi keputusan subjek BKD yang memberangsangkan," katanya ketika berucap merasmikan karnival berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, peratusan keputusan subjek BKD dalam SPM meningkat sebanyak 0.45 peratus pada 2022 (99.90 peratus), berbanding pada 2021 iaitu 99.45 peratus.
Dalam pada itu Ewon berkata, dalam melaksanakan inisiatif memartabatkan subjek BKD, terdapat pelbagai cabaran di semua peringkat institusi pendidikan.
"Antaranya seperti keperluan bahan sokongan, ketiadaan guru opsyen di sekolah menengah, kekurangan guru opsyen di sekolah rendah, latihan perguruan tidak dilaksanakan bermula 2022 dan kurang latihan peningkatan kemahiran bagi guru sedia ada.
"Justeru, satu kolaborasi dari pelbagai pihak kerajaan, badan amanah seperti KLF dan komuniti orang asal perlu dilaksanakan bagi menyokong keperluan di semua peringkat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang berkata, pihaknya amat menyokong usaha memartabatkan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda yang semakin hari semakin moden dan menjadi ikutan masa kini.
"Penganjuran Bengkel Penulisan Modul Buku Kerja Bahasa Kadazan Dusun ini adalah satu langkah proaktif dan selari dengan inisiatif global untuk memelihara bahasa ibunda sempena Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal di bawah UNESCO.
"YBR sentiasa menyokong pendidikan negara secara holistik dan program sebegini memberikan impak positif kepada guru dan pelajar," katanya.
Beliau berharap, kejayaan penghasilan modul buku kerja Tahun 4, 5 dan 6 ini dapat membantu para guru untuk lebih semangat menyampaikan ilmu kepada para pelajar untuk diwarisi secara turun-temurun.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidin; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.