Anda di sini

KPM, Farm Fresh kerjasama tangani kemiskinan

Advertisement
Fadhlina beramah mesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Haris Harian Zamry, 10, semasa melawat Pusat Multidimensi di sekolah berkenaan hari ini. - Gambar BERNAMA
Fadhlina beramah mesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Haris Harian Zamry, 10, semasa melawat Pusat Multidimensi di sekolah berkenaan hari ini. - Gambar BERNAMA

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk tenusu, Farm Fresh Bhd, untuk mewujudkan pusat multidimensi bagi mencegah tekanan kemiskinan multidimensi dalam kalangan murid-murid sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata kemiskinan multidimensi ini bermaksud kemiskinan atau kekurangan daripada pelbagai sudut kehidupan yakni daripada taraf kewangan keluarga, taraf pendidikan, kesihatan, persekitaran atau taraf hidup yang akan cenderung ke arah tekanan emosi yang sangat tinggi kepada murid-murid ini.

“Menerusi program ini, KPM akan berusaha mencegah tekanan kemiskinan multidimensi dalam kalangan murid-murid Rancangan Makanan Tambahan yang kini semakin meruncing akibat kesan ekonomi yang semakin mencabar,” katanya dalam ucapan perasmian Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Azmi Zainal di sini hari ini.

Fadhlina berkata Farm Fresh berhasrat membuka 10 pusat multidimensi di seluruh Semenanjung menelan kos RM2 juta untuk program setahun.

Menurutnya, program ini adalah bersempena Program Susu Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Farm Fresh merupakan pembekal utama program susu sekolah melibatkan lapan negeri.

“Pusat Multidimensi di SK Sungai Acheh ini adalah pusat yang kedua telah dibuka setelah program rintis dilakukan di SK Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang merupakan kelas rintis pertama dimulakan sejak Jun 2023,” katanya.

Menerusi program multidimensi ini, Fadhlina berkata sekolah menjadi lokasi pusat akan ditubuhkan dengan menggunakan kelas bilik darjah sedia ada untuk pengoperasi kelas tuisyen.

Katanya, kelas tuisyen ini yang akan bermula jam 8 malam sehingga 10 malam dan melibatkan murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 dengan mata pelajaran yang utama seperti seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

“Guru sekolah terpilih merupakan tunggak utama kelancaran program ini dan majoriti dilantik sebagai tenaga pengajar untuk kelas tuisyen percuma tersebut.

“Bagi melihat kejayaan serta matlamat program ini tercapai, pihak sekolah akan mengambil data awal akademik dan kesihatan murid-murid ini sebelum kelas bermula dan akan dinilai semula setelah program ini tamat,” katanya. - BERNAMA

Advertisement