TAWAU: Sambutan karnival ‘Wellness Month’ yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat pendekatan yang mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat.
Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui berkata, penganjuran karnival ini juga dapat meningkatkan literasi kesihatan penduduk di sini.
Katanya, ia turut mengukuhkan solidariti promosi kesihatan melalui kolaboratif antara agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti di daerah ini.
“Difahamkan karnival ini dilaksanakan sepanjang bulan September supaya semangat budaya hidup sihat dapat dikukuhkan dalam kalangan rakyat negara ini dengan momentum yang baik.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan urus setia yang telah berganding bahu dalam menyusun perjalanan karnival ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival ‘Wellness Month’ Peringkat Negeri Sabah 2023, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Norsaadah Omar yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna.
Menurutnya, penduduk di daerah ini perlu mengamalkan cara hidup sihat dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal.
“Saya berharap dengan adanya program-program kesihatan yang dianjurkan oleh pihak KKM ini dapat memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan,” katanya.
Norsaadah pula berkata, karnival ini adalah inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dianjurkan di negeri ini.
Katanya, Wellness Month diaspirasi untuk mengukuhkan jalinan kerjasama antara rakan strategik berganding bahu merancang dan melaksanakan aktiviti pembudayaan hidup sihat secara bersepadu.
“Sambutan ini menggunakan pendekatan pencegahan dalam promosi pembudayaan hidup sihat bagi meningkatkan keupayaan imuniti badan dalam mencegah dan melawan sebarang jangkitan penyakit.
“Karnival ini juga diharap akan menjadi titik tolak untuk semua rakyat di negeri ini menuju ke arah gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.
Sementara itu Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, terdapat empat teras dalam Karnival Wellness Month iaitu mempromosi pembudayaan kesihatan, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan persekitaran.
“Pada program kali ini kita ambil pendekatan yang lebih segar dengan membawa ikon muda iaitu penyanyi MK K-Clique untuk bersama-sama mempromosikan kesihatan kerana ikon ini mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya.
Turut diadakan dalam karnival berkenaan adalah berjalan 10,000 langkah yang disertai penduduk di daerah ini termasuk pelajar sekolah.