Anda di sini

Remaja ditahan, buat laporan palsu disamun walhal tidak dapat bayar balik wang majikan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja sanggup membuat laporan palsu kerana tidak dapat membayar balik duit majikannya yang telah digunakan untuk tujuan peribadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 23 tahun bagaimanapun telah ditahan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, suspek telah membuat laporan polis pada jam 10 pagi Jumaat mendakwa dirinya disamun dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal di sebuah perhentian bas Jalan Bako, Kuching.

"Hasil siasatan mendapati suspek hanya mereka-reka cerita kerana telah menggunakan wang sebanyak RM1,940 yang diamanahkan oleh majikannya untuk tujuan peribadi.

"Suspek telah membuat laporan palsu kerana tidak dapat membayar semula wang tersebut kepada majikannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahsmon, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkam hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ahsmon pada masa yang sama mengingatkan orang ramai tidak membuat laporan palsu yang boleh memberi gambaran negatif berlakunya jenayah di Kuching.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang berbuat demikian," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement