
SIBU: Persatuan Wanita Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menganjurkan Bengkel 'Warna Untuk Kejayaan' di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini, hari ini.
Presidennya Datin Dayang Mariani Abang Zain berkata, tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk membantu para peserta yang terdiri daripada para wanita berkerjaya untuk memantapkan imej dan personaliti diri mereka.
"Selain itu, bengkel ini juga membantu meningkatkan kemahiran peserta dalam keterampilan diri termasuk teknik gaya berpakaian, gaya berhijab dan teknik solekan," katanya semasa berucap pada seminar tersebut.
Dayang Mariani memberitahu, peserta turut mempelajari cara untuk meningkatkan imej mereka melalui cara berkomunikasi dan berpakaian dengan betul.
Menurutnya lagi, seseorang itu tidak perlu menggunakan pakaian yang berjenama untuk tampil menarik, tetapi adalah penting untuk mengetahui koordinasi warna yang baik untuk diri sendiri.
"Tidak perlu menggunakan pakaian berjenama yang mahal untuk tampil menarik di khalayak ramai. Anda boleh juga menggunakan pakaian yang tidak berjenama dan murah.
"Apa yang penting, anda bijak dalam memilih koordinasi warna dan menggunakan pakaian atau aksesori yang bersesuaian dengan tempat dan keadaan. Itu yang paling penting untuk tetap tampil menarik," tambahnya.
Seramai lebih kurang 30 peserta telah menyertai bengkel yang julung kalinya diadakan ini.
Bengkel dikendalikan oleh Panel Perunding Imej Bertauliah untuk Malaysia dan juga ahli Persatuan Perunding Imej Antarabangsa (AICI) yang berprestij dan ahli bersekutu Persekutuan Perunding Imej (AMFIC) Cynthia Soh.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan semasa bengkel berlangsung seperti ceramah komunikasi berkesan, pengenalan kepada konsep Pelet Warna Bermusim, cara menggayakan rambut dan banyak lagi.