
DEBAK: Peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat gaya hidup tidak sihat oleh rakyat Malaysia memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam berkata, keadaan ini sekali gus menyebabkan kerajaan menanggung beban kewangan tinggi untuk rawatan pesakit.
"Berdasarkan laporan, hampir 50 peratus golongan terbabit tidak menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut dan ini membawa kepada peningkatan risiko mendapat komplikasi kerana tidak mendapatkan rawatan awal.
"Selain itu, sebanyak 73 peratus kematian di Malaysia adalah disebabkan NCD yang berpunca daripada amalan dan budaya hidup tidak sihat.
"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, seorang daripada dua orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan dan obes, dan golongan berisiko tinggi adalah perempuan iaitu sebanyak 54.7 peratus," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di Dewan Millenia Debak, hari ini.
Menurut Mohammad Razi, bagi menangani isu terbabit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak menggunakan pendekatan dan strategi yang digariskan melalui pelan strategik jangka panjang serta memperkenalkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Katanya, pelbagai inisiatif dipersetujui untuk dilaksanakan termasuk sambutan BMSS yang merupakan satu inisiatif di bawah ANMS untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan gaya hidup sihat dengan pendekatan 'whole of nation.'
"Sambutan BMSS diaspirasikan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah bersama Rakan Strategik ANMS dari pelbagai agensi kerajaan lain, swasta, NGO dan komuniti.
"Objektif BMSS adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan meningkatkan literasi kesihatan dan solidariti promosi antara agensi, NGO, swasta dan komuniti," katanya.
Hadir sama ialah Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr Mohammad Norhaizam Ahmad@Narawi, Timbalan Pegawai Daerah Betong Jamain Wahab, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Debak Mohammad Hafiz Kepli dan Pengerusi Jawatankuasa COMBI Negeri Sarawak merangkap Jawatankuasa COMBI Bahagian Betong Azman Mantaril.