
BALAI RINGIN: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis menghadiri Program Minggu Teach for Malaysia (TFM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin dekat sini pada Jumaat.
Dalam kesempatan itu, pelajar-pelajar terpilih berpeluang berinteraksi dengan Harden yang bertindak sebagai guru dalam kelas sambil menceritakan kerjaya sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Program yang dilaksanakan oleh Yayasan TFM dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu bertujuan memberi inspirasi, suntikan semangat dan memperkasa pelajar bagi meningkatkan prestasi dari segi kurikulum atau kokurikulum sama ada dalam atau di luar kelas melalui sesi pembelajaran dan interaksi di Minggu TFM.
Selain itu, ia memberi pendedahan pelaksanaan Program TFM melalui interaksi antara tetamu Minggu TFM 2023 bersama pelajar dan warga sekolah bagi sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di sekolah-sekolah terbabit.
Penempatan Program TFM melalui sesi pembelajaran dikendalikan bersama Felo TFM serta memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan memperolehi kecemerlangan dalam pendidikan.
Di samping itu, ia membuka peluang kepada sekolah membina rangkaian hubungan dengan tetamu jemputan sebagai salah satu inisiatif Public-Private Partnership dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Objektif lain memajukan visi serta misi Yayasan TFM dalam membantu merealisasikan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Hadir sama Pengetua SMK Balai Ringin Selamat Markosen, Pengarah Urusan Yayasan TFM Chan Soon Seng dan Felo TFM Farah Iman Muhd Najib.