Anda di sini

PBB Zon Kuching sebulat suara mahu Abang Johari terus terajui PBB, GPS

Advertisement
Fadillah ketika menyampaikan ucapan aluan serta penggulungan pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB 2023 Zon Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Fadillah ketika menyampaikan ucapan aluan serta penggulungan pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB 2023 Zon Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching sebulat suara mahukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menerajui PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Naib Presiden Kanan PBB Dato Sri Fadilah Yusof berkata, ia merupakan satu daripada lapan usul yang dipersetujui oleh ahli-ahli PBB daripada 26 cawangan zon kuching dari N.1 Opar hingga N.26 Gedong.

Menurutnya, jaminan itu diberikan bagi memastikan kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia pada masa akan datang.
“Kami ahli-ahli PBB memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Abang Johari untuk terus menerajui PBB dan GPS bagi memastikan kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan serta penggulungan pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB 2023 Zon Kuching yang dirasmikan oleh Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Antara usul lain yang turut dipersetujui, Fadillah berkata, ahli-ahli PBB memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak bagi memastikan hak-hak Sarawak dapat dikembalikan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan seperti yang dijanjikan.

Ia katanya, termasuk mengembalikan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Usul ketiga, ahli-ahli Parti PBB menyokong langkah strategik parti PBB dan GPS sebagai rakan kongsi setara dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Sekali gus menuntut agar kerjasama dan penghormatan sewajarnya diberikan oleh pemimpin-pemimpin persekutuan kepada wakil PBB dan GPS dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak,” jelas beliau.

Manakala usul keempat, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli-ahli PBB bertekad memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan kerajaan Sarawak.

“Usul kelima pula, ahli-ahli PBB mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin mengganggu gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul.

“Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persetujuan parti PBB dan parti komponen yang lain,” ujarnya.

Bagi usul keenam, kata beliau ahli-ahli PBB menekankan matlamat supaya Sarawak dapat mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 berpandukan dasar dan perancangan Pelan Strategi Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

“Sementara usul ketujuh pula, ahli-ahli PBB menyokong sepenuhnya Dasar Ekonomi Baharu yang berteras kepada Ekonomi Hijau dan Ekonomi Hidrogen dan inisiatif yang diambil oleh Abang Johari untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak.

“Dan usul terakhir, ialah kami ahli-ahli PBB bertekad untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak dapat dipelihara dan diperteguh agar masyarakat dapat hidup aman damai dan harmoni,” kata Fadillah.
 

  • oleh
  • Advertisement