
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus berjuang mempertahankan hak-hak Sarawak berdasarkan kepada fakta dalam empat dokumen penting.
Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, empat dokumen penting tersebut ialah Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.
"Parti kita PBB mempertahankan hak kita bukan kerana kita mempunyai semangat kedaerahan, tidak. Tetapi berpandukan kepada empat dokumen ini.
"Ada orang kata karbon hak kongsi termasuk rakan di persekutuan. Saya kata tidak. Karbon adalah hak orang Sarawak merujuk kepada Perkara 95(E) Perlembagaan Persekutuan.
"Karbon adalah diletak di bawah undang-undang tanah, bermakna perdagangan karbon adalah milik kita.

"Kerajaan persekutuan tidak ada kuasa, hanya kuasanya dari sudut perniagaan dengan orang luar. Tetapi hak mengeluar, menyimpan adalah hak Sarawak dan PBB harus pertahankan hak itu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas PBB 2023 Zon Kuching di Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Naib Presiden Kanan Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta yang lain.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak turut mengingatkan ahli-ahli dalam PBB agar mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan Sarawak.
Sebab itu katanya, Majlis Kerja Tertinggi parti memutuskan untuk mengadakan konvensyen khas bagi ahlinya mencerminkan diri dan hala tuju masa depan parti dan negeri.
"Perjalanan kita adalah panjang, pemimpin bertukar ganti tetapi semangat pertahan Sarawak mesti ada dalam PBB.
"Sebab itu masa penubuhan Kerajaan Perpaduan, kita Sarawak mengambil nasihat Yang di-Pertuan Agong kita dan menyokong penubuhannya," katanya.
Abang Johari turut berterima kasih kepada pemimpin terdahulu PBB yang telah menyatukan Bumiputera dan menubuhkan PBB serta menukar corak Sarawak selama 60 tahun.
Ini katanya, adalah satu perjalanan yang banyak likunya tetapi PBB dapat menyelesaikan masalah tersebut sehingga menjadi parti tulang belakang kerajaan Sarawak pada hari ini.
Namun kata Abang Johari, selepas 60 tahun, PBB hendaklah melihat hala tuju perjuangannya dalam landskap yang sudah berubah dan berbeza daripada lepas.