
KALABAKAN: Kerajaan tidak pernah mengabaikan masyarakat luar bandar dalam usaha mempertingkat pengetahuan sains, teknologi dan inovasi (STI) melalui pelbagai perancangan termasuk mengadakan jelajah Kembara Sains Borneo (KSB).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, KSB adalah inisiatif bagi merapatkan jurang pembudayaan sains dalam kalangan belia di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Katanya, masyarakat luar bandar, pedalaman dan kawasan Felda juga tidak lari dari keperluan STI melalui kajian berterusan dalam usaha meningkatkan hasil pertanian dan kecekapan proses perladangan.
“Saya tidak mahu belia, anak watan Sabah ketinggalan daripada penglibatan aktif dalam peluang ekonomi, bidang pekerjaan dan perniagaan yang berteraskan STI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Siri 2 di Dewan Semai Bakti, Felda Gugusan Umas, Kalabakan di sini, hari ini.
Menurutnya, program KSB direka khas bagi mendekati pelajar dan komuniti luar bandar terutamanya golongan muda khususnya pelajar bagi memupuk minat sekaligus meningkatkan populariti bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Saya percaya dalam jangka masa panjang usaha ini akan dapat membantu mengikis stigma terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) yang sering dikatakan mata pelajaran sukar dikuasai.
“Ia juga sekali gus dapat meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di peringkat sekolah menengah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat Sabah sentiasa memberi sambutan dan sokongan yang menggalakan dalam setiap pelaksanaan program dianjurkan oleh Pusat Sains Negara.
“Program Minggu Sains Negara yang dilangsungkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mencatatkan kehadiran pengunjung lebih 20,000 orang dan yang tertinggi sepanjang program itu dilaksanakan di seluruh negara.
“Ini menunjukkan rakyat Sabah sangat berminat dengan STI dan program KSB pun sangat menggalakan di kawasan Kalabakan ini yang merekodkan lebih 4,000 pengunjung,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berharap program KSB akan diteruskan pada masa hadapan bagi membolehkan masyarakat luar bandar akses secara terus dengan STI.
“Melalui program seperti ini penduduk luar bandar di kawasan saya mendapat akses langsung dan ilmu pengetahuan mengenai kepentingan STI serta memupuk minat anak-anak untuk menceburi bidang ini,” katanya.