KANOWIT: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pantu Mali di sini petang Sabtu.
Mangsa berusia 50 tahun yang tersepit di dalam kereta jenis Proton Iswara terbabit mengalami patah kaki dan kaki kiri serta luk-luka di bahagian kepala serta anggota badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.29 petang.
Katanya, seramai lima anggota bomba bersama sebuah jentera LFRT telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
"Sampai di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki empat orang manakala mangsa yang memandu berseorangan didapati tersepit di dalam kereta jenis Proton Iswara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arrahman, Pasukan Keluaran Operasi kemudian telah bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan konsep 'SAVER', menggunakan peralatan khas RTA iaitu 'rescue tools'.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans dari Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya," katanya
Operasi ditamatkan pada jam 3.30 petang.