KOTA BELUD: Seorang lelaki hilang selepas dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di Jeti Mantanani di sini kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa berumur 20 tahun itu dibaham reptilia berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam sungai.
Katanya pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.26 malam.
“Hasil maklumat awal daripada saksi memaklumkan mangsa disambar buaya ketika menjalankan aktiviti memancing.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan jeti bagaimanapun tiada penemuan positif sebelum operasi pencarian ditangguhkan pada SAR hari pertama,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR hari kedua bersama agensi penyelamat lain dimulakan pada 6.58 pagi semalam.
“Radius pencarian membabitkan kawasan sejauh satu kilometer menyusuri tebing sungai menggunakan bot.
“Setakat ini mangsa belum ditemukan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi SAR dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.