Anda di sini

Kompleks Komuniti The Salvation Army bantu golongan terjejas

Advertisement
Fatimah beramah mesra dengan kanak-kanak semasa merasmikan Kompleks Komuniti The Salvation Army di Kota Samarahan hari ini.
Fatimah beramah mesra dengan kanak-kanak semasa merasmikan Kompleks Komuniti The Salvation Army di Kota Samarahan hari ini.

KUCHING: Pembinaan Kompleks Komuniti The Salvation Army bakal menyediakan bantuan perkhidmatan kepada golongan dan komuniti yang terjejas, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kewujudan kompleks badan bukan kerajaan itu bakal menyediakan peluang, selain dapat membantu golongan khasnya kanak-kanak, selain komuniti yang menghadapi musibah.

"Sehubungan itu, kerajaan Sarawak melihat keperluan untuk The Salvation Army beroperasi dalam persekitaran yang lebih kondusif  dengan ruang yang lebih besar sekali gus menyediakan peluang kepada kanak-kanak mengikuti program yang dilaksanakan.

"Oleh itu, kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyediakan peruntukan berjumlah RM4 juta untuk mewujudkan kompleks berkenaan, selain mendapat bantuan tambahan daripada Borneo Medical Centre (BMC) berjumlah RM9 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah semasa merasmikan kompleks berkenaan di Kota Samarahan, hari ini.

Justeru, Abang Johari berkata usaha ini bakal memastikan kanak-kanak dan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan diberi peluang untuk menjadi yang terbaik.

"Ucapan penghargaan kepada The Salvation Army Malaysia atas tanggungjawab yang diberikan dan saya berharap kerajaan Sarawak terus bekerjasama rapat untuk memastikan komuniti terjejas dapat diberikan bantuan sewajarnya," tambahnya.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak Dato Sri JC Fong, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng, Pengerusi Lembaga Pengarah BMC Dr John Chew dan tetamu yang lain.
 

Advertisement