
BINTULU: Kerajaan Sarawak komited memastikan ekosistem marin yang kaya di negeri ini kekal terpelihara agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat, terutama generasi masa depan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, antara usaha kerajaan ialah melaksana inisiatif projek kelestarian alam sekitar bagi pemuliharaan ekosistem marin terumbu karang, mempertingkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi di wilayah ini.
"Atas usaha itu, kita (kerajaan) telah melabuhkan tukun tiruan terpanjang sejauh 746 kilometer (km) di Sarawak dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas.
"Ia melibatkan perbelanjaan besar sekitar RM70 juta. Kita buang tukun ke laut dan diiktiraf sebagai tukun tiruan terpanjang di dunia oleh The Reef Ball Foundation of USA," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran dan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) terumbu karang dan bola terumbu untuk projek peningkatan dan pengawasan ekosistem (COREEFS) antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) di Taman Negara Similajau, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC merangkap Pengawal Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi serta Pengawal Hidupan Liar Zolkipli Mohamad Aton, Penolong Pengurus Besar BPA Anuar Aikne dan Pengurus BDA Datu Muhamad Yakup Kari.
Len Talif berkata, pengiktirafan tersebut dibuat oleh sebuah badan di Amerika Syarikat yang pakar dalam bidang tukun tiruan serta melibatkan lebih 80 negara di seluruh dunia.
"Mereka yang memberi pengiktirafan kepada kita sehingga projek yang kita usahakan ini menjadi begitu baik di dunia," jelasnya.
Justeru katanya, MoA antara SFC dan BPA untuk projek terumbu karang COREEF adalah langkah yang harus diberi sokongan dan didukung semua pihak.
"Sudah terlihat di kawasan ini keadaan terumbu karangnya luntur perlu diberi perhatian dan keadaan ini berlaku di seluruh dunia, kesan perubahan iklim di setiap tempat.
"Tugas dan tanggungjawab kita adalah memastikan aktiviti di peringkat masyarakat, agensi, syarikat dan sebagainya digembleng selaras dengan tujuan untuk memastikan alam sekitar dilestari untuk generasi akan datang," katanya.
Ujarnya, projek memulih, memelihara terumbung karang, bebola tukun tiruan dan ekosistem marin itu melibatkan kos hampir RM6.8 juta yang disumbangkan oleh BPA.
"BPA tidak keberatan menyumbangnya meskipun bukan untuk keuntungan tetapi usaha ini bermanfaat kepada komuniti. Dan, ia bukan untuk BPA sahaja tetapi banyak syarikat gergasi besar perlu terlibat sama dalam projek ini termasuk BDA (Lembaga Kemajuan Bintulu)," katanya.
Menurutnya lagi, setiap aktiviti ini dipandu dengan hasrat untuk memastikan alam sekitar terjaga, dan sekurang-kurangnya kesannya memberi keadaan lebih baik kepada kehidupan harian rakyat.