
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) meraikan Hari Tanpa Kereta dengan pelbagai aktiviti di pekarangan tempat letak kereta MBM di Jalan Raja di sini, pada Sabtu.
Datuk Bandar Adam Yii berkata, aktiviti itu bertujuan menjadikan Miri sebuah bandar raya rendah karbon dan mempromosikan budaya amalam hidup sihat dalam kalangan penduduk.
"Aktiviti ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan dan memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan kesihatan," ujarnya.
Antara aktiviti menarik sepanjang program ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan basikal berhias, pameran dan cabutan bertuah.
Selain beriadah, penduduk berpeluang menikmati panorama Miri dalam suasana bebas kenderaan.
Dalam pada itu, Hari Tanpa Kereta Sedunia 2023 diraikan pada setiap 22 September di seluruh dunia bertujuan mengurangkan pelepasan karbon monoksida ke udara dan menggalakkan gaya hidup yang lebih hijau dan sihat.
Sepanjang program berlangsung, orang ramai atau para pengunjung hanya dibenarkan untuk berjalan kaki atau berbasikal.
Sebarang kenderaan bermotor adalah tidak dibenarkan.