Anda di sini

Ewon rasmi pejabat baharu SKM Wilayah Kudat

Advertisement
 Ewon (empat kiri) menyampaikan replika cek Skim Pembiayaan Tekun Nasional kepada wakil penerima pada majlis itu.
SKIM: Ewon (empat kiri) menyampaikan replika cek Skim Pembiayaan Tekun Nasional kepada wakil penerima pada majlis itu.

KUDAT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Kudat yang baharu di sini hari ini.

Beliau berharap masyarakat Kudat dan sekitarnya dapat memanfaatkan sepenuhnya pejabat baharu itu untuk memperkasakan lagi gerakan koperasi.

“Saya mahu segala maklumat terkait koperasi dapat disampaikan dan dikongsikan kepada rakyat di daerah ini termasuk pembiayaan, geran koperasi, latihan dan maklumat mengenai Universiti Keusahawanan Koperasi (UKK).

“Saya juga berharap, dengan adanya suasana pejabat yang lebih kondusif, semua warga SKM di Wilayah Kudat, Keningau, Kota Marudu dan Ranau khasnya dapat melaksanakan tugas dengan lebih komited seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada semua pelanggan,” katanya.  

Beliau berkata, ia adalah projek di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang mendapat perhatian daripada kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM7,410,000 bagi tujuan pelaksanaan projek kecil di bawah SKM.

Ewon berkata, sebanyak RM3 juta adalah peruntukan yang diluluskan khas bagi projek ubah suai empat pejabat di SKM  Sabah iaitu Pejabat SKM Wilayah Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau.
 
Menurutnya,  sehingga 31 Disember 2022, bilangan koperasi di Malaysia yang berdaftar sebanyak 15,315 koperasi dengan jumlah keanggotaan seramai 7.3 juta orang. 

“Dari segi modal syer/yuran sejumlah RM16.9 bilion direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159 bilion dan nilai perolehan keseluruhan sebanyak RM45 billion,” katanya.

Beliau berkata, bagi Sabah pula, setakat 31 Disember 2022, jumlah koperasi berdaftar sebanyak 1,707 buah, dengan keanggotaan seramai 350,368 orang. 

“Manakala syer dan yuran terkumpul sebanyak RM232 juta, aset terkumpul bernilai RM915 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM569 juta,” katanya.

Ewon berkata, sebagai pertubuhan yang besar, gerakan koperasi berupaya menjadikan negara ini terus kukuh dan teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. 
 

Advertisement