
PUSA: Enam projek berimpak tinggi yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM60 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan dilaksanakan di Pusa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada visi dan misi kerajaan Sarawak dalam mengangkat kawasan itu sebagai salah satu daripada pusat perdagangan utama di negeri ini.
"Perancangan pertama ialah membina sebuah dewan terbuka yang besar di Dataran Tandang Sari, kedua projek tebingan di depan medan selera dekat Tanjung Pasir di Sungai Uguran.
"Projek ketiga ialah tebingan mini di kawasan perkuburan masyarakat Islam berhampiran Kampung Kalok, manakala projek yang keempat ialah mendirikan pusat konvensyen untuk Daerah Pusa yang merupakan dewan tertutup.
"Sementara itu, projek kelima pula ialah membina Tourism Discovery Centre seperti di Jambatan Sebuyau dan yang keenam menambah medan niaga," ujarnya pada Majlis Perasmian Regata Tandang Sari, Pusa 2023 di sini, pada Jumaat.
Razaili berkata, kesemua projek yang dilaksanakan itu adalah untuk memantap dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan ini dan sekitarnya.
Menyentuh mengenai Regata Tandang Sari, Razaili berharap ia dapat dijadikan sebagai salah satu acara dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.
"Program ini turut menjadi platform membantu masyarakat di kawasan ini mengangkat pembangunan dan merancakkan lagi aktiviti-aktiviti pelancongan.
"Ia juga dilihat mampu mengangkat sosioekonomi masyarakat melalui aktiviti berkaitan pelancongan dan pemasaran produk tempatan di Daerah Pusa," jelas Razaili lagi.
Regata Tandang Sari 2023 dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Batang Lupar dan Pusat Khidmat ADUN Beting dengan kerjasama Pejabat Daerah Pusa.
Ia berlangsung selama tiga hari dan menarik penyertaan 13 pasukan iaitu Sri Berjaya Sayang Saribas, Komeng Saribas Bujang Vaie, Burung Garuda, Cahaya Pusa, Wali Putih, Jang Saribas, Barracuda, Nelayan Rempit, Darrah Muda, GP Binladen Pantai Damai, Pancar Buraq Sakti, Kijang Perkasa dan Cahaya Naga Sakti.
Hadiah utama RM15,000 menanti pemenang kayuhan Bidar 30 akhir, sekali gus membawa pulang Piala Tandang Sari.
Selain acara di sungai, di Dataran Tandang Sari berlangsung pameran oleh 13 agensi dan aktiviti jualan melibatkan kira-kira 200 tapak.
Pengisian terdahulu 16 acara sukan rakyat dan lima pengisian malam warna-warni, di samping kemuncak penampilan artis terkenal seperti Joey BPR, Ella dan Baby Shima.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Sejarawan Brunei Darussalam Dzulkifli Latif, Pemangku Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi, Temenggung Bahagian Betong Pi'ee Alwi dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain.