
BEAUFORT: Sejumlah 95 mangsa banjir dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Selagon di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kesemua mangsa dipindahkan selepas kawasan perkampungan Suasa dinaiki air.
“Jumlah yang dipindahkan termasuklah 10 lelaki dewasa dan 26 wanita dewasa serta 46 kanak-kanak.
“Turut dipindahkan ialah tiga Orang Kurang Upaya (OKU), empat bayi serta enam warga emas,” katanya.
Terdahulu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian banjir pada jam 4 petang.
Katanya sepasukan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 28 kilometer bagi melakukan operasi menyelamat.
“Operasi memindahkan mangsa turut dilakukan pasukan penyelamat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Sukarelawan (Rela),” katanya.