
KUCHING: Sebanyak 14 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan jalan raya di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah memberitahu, ini kerana sejak kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya di daerah Kuching menunjukkan peningkatan.
"Penyumbang utama kepada peningkatan kes kemalangan jalan raya ini ialah faktor kecuaian pemandu, cuaca dan juga keadaan fizikal jalan raya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahsmon menjelaskan, lokasi kerap berlaku kemalangan yang dikenal pasti ialah Lampu Isyarat Utama/Jalan Merican Salleh, Jalan Tun Razak, Jalan Wan Alwi, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Tun Jugah, Jalan Song serta Jalan Setia Raja.
Selain itu, Jalan Kuching-Samarahan Expressway, Jalan Stutong Baru, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Sultan Tengah/Jalan Samariang, Jalan Demak/Bako, Jalan Matang Baru dan Lampu Isyarat Jalan Satok/Jalan Kulas.
"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhemah serta fokus semasa memandu.
"Ini bertujuan untuk mengelak daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya," ujarnya.