
BINTANGOR: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM12,000 pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata geran tersebut diagihkan bagi membantu NGO terbabit menampung peruntukan bagi aktiviti tahunan mereka.
"Organisasi yang menerima geran itu ialah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Meradong sejumlah RM5,000, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor (RM5,000) dan Panel Pelawat Klinik Kesihatan Bintangor (RM2,000).
"Kita berharap geran itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan digunakan bagi menampung aktiviti tahunanyang bakal memberi impak positif kepada semua ahlinya dan komuiti setempat," katanya pada majlis ringkas penyerahan geran MRP itu di sini.
Menurut Ding, pengagihan geran itu adalah usaha kerajaan membantu NGO dan organisasi lain bergiat aktif bagi mencapai matlamat dan visi persatuan mereka.
"Kita berharap agar penerima memanfaatkan geran diterima sebaiknya dan menggunakan secara berhemah mengikut keperluan setiap masa.
"Ini merupakan sebahagian hasil peruntukan disalurkan oleh kerajaan Sarawak membantu organisasi tertentu sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dalam penganjuran aktiviti dan program di Meradong.
"Kita berharap dan mengamalkan dasar pintu terbuka kepada mana-mana pihak mempunyai sebarang masalah atau permohonan boleh terus berjumpa atau menulis surat permohonan kepada Pusat Khidmat DUN Meradong," jelas Ding.

Hadir sama Pakar Perubatan Klinik Kesihatan Bintangor Dr Dayang Hanifah, Penolong Pengetua SMK Bandar Bintangor, Selamah Ismail dan Pengerusi PPDK Meradong Abang Mohd Selanie.