Anda di sini

Sarawak Agrofest 2023 tampil pelbagai produk, perkhidmatan dan inovasi

Advertisement
Umie (kiri) menyediakan Mee Kolok Kering Sarawak untuk diuji rasa oleh pengunjung.
Umie (kiri) menyediakan Mee Kolok Kering Sarawak untuk diuji rasa oleh pengunjung.

KUCHING: Sarawak Agrofest 2023 membuka tirai hari ini dengan pelbagai jenis produk, perkhidmatan dan inovasi dipamer serta dijual kepada pengunjung sepanjang 10 hari festival itu hingga 1 Oktober depan. 

Tinjauan Utusan Borneo di tapak festival di Dataran Perayaan Stadium Negeri hari ini mendapati festival itu sudah menerima kehadiran ramai pengunjung pada hari pertama pameran pertanian terbesar di Sarawak itu.

Antara yang tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Sarawak Agrofest hari ini ialah Yunis Mohd Faizal, penuntut Kolej Komuniti Bau yang menjalani latihan praktikal di Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) di sini. 

Yunis yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, ini adalah kali pertama dia mengunjungi Sarawak Agrofest yang diketahui daripada rakan-rakan sekerjanya. 

"Saya agak teruja kerana ini kali pertama saya dapat melihat secara dekat haiwan ternakan seperti Lembu Braham yang mana biasanya hanya dapat dilihat di kampung-kampung atau ladang ternakan khusus. 

Mohd Ridhuan menyediakan pelbagai jenis keropok ikan dan keropok lekor untuk dijual kepada pengunjung di Sarawak Agrofest 2023.
Mohd Ridhuan menyediakan pelbagai jenis keropok ikan dan keropok lekor untuk dijual kepada pengunjung di Sarawak Agrofest 2023.

"Selain haiwan ternakan, pada Sarawak Agrofest ini juga saya mahu melihat dan mempelajari teknologi dalam bidang pertanian yang terdapat di festival ini," katanya ketika ditemui. 

Sementara itu peserta pempamer, Umie Hamid yang mempromosikan produk Mee Kolok Kering Sarawak iaitu mi kolok segera berharap penyertaan dalam festival ini akan dapat meningkatkan lagi jualan mereka. 

"Ini bukan kali pertama kami menyertai Sarawak Agrofest, dan kita berharap menerusi festival selama 10 hari ini, produk Mee Kolok Kering Sarawak akan lebih dikenali," katanya. 

Buat masa ini kata Umie, produk Mee Kolok Kering Sarawak dijual dalam pasaran tempatan, selain turut kerap ditempah sebagai cenderahati untuk pengunjung luar. 

Bagi Mohd Ridhuan pula, apa yang menariknya pada Sarawak Agrofest ialah terdapat pelbagai produk dijual yang mana jarang dan sukar didapati pada hari biasa. 

Ridhuan yang bertugas sebagai penjual keropok ikan dan keropok lekor pada festival itu berharap jualan mereka akan menerima sambutan daripada pengunjung sepanjang 10 hari ini. 

"Sebelum ini, kami pernah menyertai Sarawak Agrofest dan kita berharap festival ini akan diadakan lebih kerap untuk mempromosikan produk Sarawak,” katanya. 

Bryan memperkenalkan Aiskrim Lada Sarawak buat pertama kalinya pada Sarawak Agrofest 2023.
Bryan memperkenalkan Aiskrim Lada Sarawak buat pertama kalinya pada Sarawak Agrofest 2023.

Antara jenis keropok yang dijual ialah Keropok Lekor Kering, Siap Goreng dan Sejuk Beku, Keropok Ikan Terubok, Keropok Ikan Tulin tanpa tulang yang nipis serta ranggup. 

Produk lain yang harus dicuba di Sarawak Agrofest kali ini ialah Aiskrim Lada Sarawak  oleh AB Group Trading. 

Resipi bagi Aiskrim Lada Sarawak ini dihasilkan sendiri oleh pengusahanya Bryan Yii bersama rakannya sebulan lepas. 

"Aiskrim Lada Sarawak diperkenalkan buat pertama kalinya pada Sarawak Agrofest 2023 dan kita berharap ia akan disukai ramai seperti Aiskrim Gula Apong," katanya. 

Dalam pada itu selain pameran dan jualan produk serta perkhidmatan pertanian, tarikan lain pada Sarawak Agrofest 2023 ialah Vet Zoo yang dibuka kepada umum. 

Antara yang terdapat di Vet Zoo ini ialah kucing, arnab, ayam, itik, kambing, lembu yang mana boleh dilihat secara dekat oleh pengunjung. 
 

  • oleh
  • Advertisement