
MIRI: Sebuah rumah tidak berpenghuni musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Lorong Melor 1B, Kampung Tudan di sini, tengah hari Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran terbabit pada jam 12.46 tengah hari.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lutong diketuai Pegawai Bomba Tinggi II Hendry Jugah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong tiada berpenghuni yang berukuran 20 kali 20 kaki telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media.
PGO memberitahu, pasukan bomba kemudiannya bertindak memadamkan api menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada pam jentera ke pili bomba berdekatan.
“Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 1.35 petang sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada kemungkinan berulangnya kebakaran, operasi ditamatkan pada jam 1.49 petang.