Anda di sini

Polis rampas dadah bernilai lebih RM1.5 juta, lima suspek dicekup

Advertisement
Mohd Yusri (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM1,561,040 yang dirampas susulan penahanan lima suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun, pada sidang media di IPK Perak d hari ini. -Gambar BERNAMA
Mohd Yusri (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM1,561,040 yang dirampas susulan penahanan lima suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun, pada sidang media di IPK Perak d hari ini. -Gambar BERNAMA

IPOH: Polis Perak merampas dadah jenis ketamin dan methamphetamine bernilai RM1,561,040 dalam dua serbuan di kawasan Gunung Rapat, pada Rabu. 

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sehubungan itu juga lima suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan berasingan yang dilakukan di Kampung Gunung Rapat dan Kampung Rapat di sini. 

“Serbuan pertama dilakukan dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng (Kampung Gunung Rapat) apabila pihak polis menahan tiga lelaki dan menemukan dadah jenis ketamin anggaran berat 26.2 kilogram (kg), cecair disyaki dadah ketamin anggaran berat 3.4kg serta methamphetamine anggaran 1.8kg.

“Susulan daripada serbuan itu juga polis menahan dua lagi lelaki di sebuah rumah di Kampung Rapat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ketamin tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata hasil ujian saringan awal mendapati empat suspek positif dadah jenis THC manakala seorang lagi suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Hasil semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau serta dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Mohd Yusri berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kelima-lima suspek direman selama tujuh hari mulai 21 hingga 27 Sept ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, katanya polis turut menyita sebuah kereta dan dua motosikal serta wang tunai dengan anggaran jumlah keseluruhan bernilai RM30,380 selain kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.

Katanya kejayaan rampasan tersebut adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dan pihak polis dalam memastikan gejala itu dapat dibanteras. - BERNAMA
 

Advertisement