
KOTA KINABALU: Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bertujuan membincangkan idea bekerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, Jawatankuasa Khas itu akan ditubuhkan selepas Kongres Tahunan Perwakilan PBS Ke-38 esok.
Katanya, sebelum sebarang kerjasama dimeterai kedua-dua parti untuk idea membentuk gabungan berkenaan, pihaknya perlu mengambil kira pandangan perwakilan terlebih dahulu.
Menurutnya, selepas semua pandangan perwakilan diperoleh, barulah cadangan itu dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
"Jawatankuasa Khas ini hanya melibatkan dua atau tiga ahli PBS sahaja dan begitu juga dari parti STAR.
"Setakat ini, kita tidak menetapkan sebarang tempoh bagi membincangkan mengenai gabungan ini.
"Namun, kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diputuskan sebelum pilihan raya. Perkara ini akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi GRS apabila tiba pada masanya," katanya pada sidang media di sini Rabu lepas.
Beliau berkata, pandangan di peringkat akar umbi penting bagi memastikan kerjasama PBS dengan semua parti di bawah GRS berjalan baik terutama dalam menghadapi PRN kelak.
Sementara itu Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata, idea gabungan itu perlu dilihat secara menyeluruh supaya ia memberi impak dalam memperkukuhkan kerjasama dalam GRS.
“Ini bukan sesuatu yang baharu kerana dulu idea bergabung bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga pernah dicadangkan," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Mojungki berkata, sempena dengan Kongres Tahunan PBS tahun ini, beberapa usul dan perkara penting akan dibangkitkan termasuk bagi membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam GRS.
Menurutnya, seramai 800 perwakilan daripada lebih 64 bahagian akan hadir kongres berkenaan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang.
Katanya, kepimpinan parti mahu mendengar cadangan dan pandangan perwakilan mengenai pendekatan yang boleh diambil bagi mengeratkan lagi hubungan antara parti dalam GRS.
Selain itu jelasnya, usul lain yang akan dibawa termasuklah cadangan memasukkan Majlis Penasihat Perdana dalam perlembagaan parti serta memansuhkan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang penglibatan pelajar universiti dalam kegiatan parti politik.
“Akta itu sudah tidak relevan lagi dan itu antara perkara yang kita akan keluarkan daripada perlembagaan parti.
"Dengan pemansuhan itu, PBS terbuka untuk menerima penglibatan daripada generasi baharu untuk mengambil bahagian dalam politik khususnya di Sabah," katanya.
Penasihat Perdana PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dijangka hadir dan merasmikan Kongres Tahunan Perwakilan PBS Ke-38 manakala, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili turut dijangka hadir.
Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Yee Moh Chai dan Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut.