TAWAU: Pasar raya berskala besar diminta membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang untuk mempromosi produk keluaran mereka.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, produk keluaran usahawan PMKS sangat berpotensi dan berupaya menghasilkan jualan sehingga RM200,000 sebulan.
Katanya, melalui penyediaan ruang berkenaan, usahawan PMKS boleh mempamerkan produk mereka sekali gus membolehkan pelanggan membeli produk tempatan dengan lebih mudah.
“Saya melihat banyak produk tempatan yang memenuhi cita rasa dan mempunyai permintaan yang tinggi daripada penduduk di negeri ini.
“Justeru, kita harapkan lebih banyak pasar raya yang sanggup memberi ruang dan peluang kepada usahawan PMKS pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika Majlis Perasmian Papan Tanda Produk Usahawan IKS Sabah di Pasar Raya Sthamin Hilltop Tawau di sini, hari ini.
Menurutnya, Pasar Raya Sthamin sudah mengambil langkah terbaik dengan menyediakan ruang kepada lebih 50 usahawan PMKS mempamer dan menjual produk mereka.
Katanya, inisiatif yang dilakukan pasar raya berkenaan perlu disokong bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan masing-masing.
“Saya sebenarnya terkejut kerana ruang yang disediakan agak luas dan membabitkan produk tempatan sama ada kering, sejuk beku, barangan basah dan juga penghasilan makanan.
“Bagaimanapun, usahawan di daerah ini perlu berusaha memperbaiki pembungkusan produk mereka agar mampu bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Suryady berkata, terdapat produk tempatan yang mempunyai potensi untuk diketengahkan sehingga ke pasaran antarabangsa jika usaha dan galakan berterusan diberikan kepada mereka.
“Ramai usahawan Sabah ini berasal dari kawasan pantai timur Sabah dan diharapkan supaya mereka komited meningkatkan taraf perniagaan yang diusahakan itu.
“Kerajaan negeri dan pihak swasta juga banyak menyediakan peluang supaya usahawan ini terus maju ke hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, Suryady yang juga wakil rakyat Tanjung Batu menggalakan rakyat agar memilih produk tempatan bagi menyokong usahawan PMKS sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.