Anda di sini

Pantai Timur Sabah dikenal pasti hab pembangunan ekonomi baharu

Advertisement
 Masidi (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan.
ALBUM: Masidi (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengenal pasti Pantai Timur Sabah sebagai hab pembangunan ekonomi baharu berikutan lokasinya terletak berhampiran dengan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN (EAGA).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, agensi kerajaan negeri seperti POIC Sabah Sdn Bhd terletak dalam taman perindustrian dan perlabuhan di Lahad Datu sebagai hab logistik untuk Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

"Rancangan sedang dilakukan untuk membina sebuah akademi maritim untuk menyokong pertumbuhan ekonomi maritim EAGA dan hab pengangkutan marin untuk memperkasakan rangkaian diantara EAGA," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Sabah International Expo (SIE2023) di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, menjadi sebahagian dalam BIMP-EAGA, Sabah berada dalam kedudukan yang sangat strategik.

"Ketika BIMP-EAGA sedang bersedia untuk menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun depan, kerajaan negeri akan melihat kepada potensi ini kerana data mengenai BIMP-EAGA menawarkan pelbagai peluang.

"Banyak peluang potensi untuk mengadakan kerjasama diantara negara dalam kawasan itu khususnya sektor pengangkutan, rangkaian hubungan tenaga dan kuasa, pelaburan dan perdagangan, informasi dan teknologi komunikasi, industri pertanian dan perikanan, pelancongan, alam sekitar, sosial budaya serta pendidikan.

"Selain Brunei, ibu negara ahli-ahli EAGA yang lain terletak jauh dari ibu kota seperti Jakarta dan Manila.

"Ini menjadikan Sabah sebagai lokasi yang terbaik sebagai hab perdagangan dan pelaburan," katanya.

Hajiji berkata, penubuhan ibu kota baharu Indonesia di Nusantara di Kalimantan Timur sekali gus akan memperkukuhkan lagi kedudukan Sabah 

"Kebanjiran orang dan perusahaan ke Borneo akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan negeri percaya pelabur domestik serta antarabangsa boleh menerokai peluang serantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan ia semakin berkembang," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sabah juga yakin untuk memperolehi pelaburan berimpak tinggi dan mampu berkembang lebih daripada RM9 bilion pelaburan yang telah diluluskan pada suku pertama tahun ini.

"Tahun lalu, perdagangan Sabah mencatatkan rekod sebanyak RM118.1 bilion berbanding RM87.2 bilion pada 2021.

"Kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai pelabur datang ke Sabah untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang memberikan manfaat kepada semua," katanya.

Hajiji jamin dengan panduan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Sabah akan terus membangun secara pesat berdasarkan tiga tunjang utama iaitu pertanian, industri dan pelancongan dengan mengutamakan kepentingan kepada rakyat, memperkasakan rangkaian hubungan serta kelestarian hijau.

  • oleh
  • Advertisement