KUCHING: Kementerian Sains, Tekonologi dan Inovasi (MOSTI) meneroka peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam sumber tenaga boleh diperbaharui berasaskan hidrogen.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menterinya Chang Loh Kang berkata, dari segi teknologi hidrogen dan ekonomi, Sarawak mempunyai prestasi yang cemerlang untuk dijadikan rujukan.
"Banyak yang kami telah bincangkan terutamanya apa potensi yang kita boleh bekerjasama dan juga ekonomi hidrogen kerana MOSTI bertanggungjawab untuk menerajui Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
"Pada masa yang sama, kita hendak melihat macam mana kita hendak membina ekosistem dengan Sarawak sebab negara kita sedang menuju ke arah membangunkan HETR," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Jumaat.
Chang berkata, dalam kunjungan hormat itu pihaknya turut membincangkan perkara lain seperti kerjasama dalam sektor semikonduktor.
"Kami akan datang lagi untuk memastikan apa kerjasama yang dapat dijalin dengan lebih baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak," ujarnya.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Setiausaha Tetap MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim, Timbalan Setiausaha Tetap MOSTI (Pembangunan Teknologi) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Setiausaha Tetap MOSTI (Perancangan dan Pembangunan) Ruziah Shafei dan Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.