Anda di sini

MKHPPK 2023 bantu penjaja tamu dan peniaga kecil

Advertisement
 Ewon (tiga kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan.
RASMI: Ewon (tiga kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan.

KOTA BELUD: Program Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2023 (MKHPPK 2023) mampu membantu komuniti penjaja tamu dan peniaga kecil khususnya di kawasan Taginambur untuk memasarkan hasil tani serta produk perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program itu sekali gus akan merancakkan lagi aktiviti perniagaan penduduk kampung serta daerah ini.

"Pada masa yang sama, komuniti penjaja tamu dan peniaga kecil yang berniaga di sini dan para pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan maklumat serta informasi terkini berkaitan dana pembiayaan, program intervensi serta latihan yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP secara langsung.

"Malah tidak kurang penting, penganjuran MKHPPK 2023 ini merupakan manifestasi komitmen serta apresiasi Kerajaan Madani terhadap sumbangan serta dokongan komuniti penjaja dan peniaga kecil seluruh negara khususnya di Sabah, dalam konteks Perusahaan Mikro Kecil Sederhana kepada pertumbuhan ekonomi serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan MKHPPK 2023 di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, program yang diadakan di sini juga sebagai usaha memahami suasana keperluan penjaja tamu.

"Kita perlu hadir di lokasi di mana mereka berada, tempat mereka mencari rezeki dan menjalankan perniagaan tamu mereka. 

"Kita perlu memahami dan hadam budaya sosial serta interaksi yang berlaku di pasar tamu, yang pastinya banyak kita boleh belajar daripada kehidupan mereka," katanya.

Ewon yakin perjuangan untuk membangunkan serta memperkasakan sosioekonomi komuniti penjaja tamu dan peniaga kecil memerlukan 'outreach' dan 'engage' mereka secara langsung dengan lebih akrab. 

Katanya, bantu golongan penjaja itu dengan mempermudahkan urusan mereka selagi mana ianya memenuhi syarat dan peraturan yang berkuatkuasa. 

"Mempermudahkan dan jangan sekali menyusahkan. Hari Bertemu Pelanggan dengan komuniti penjaja tamu dan peniaga kecil tidak sahaja terhad diadakan di pejabat, tetapi juga boleh diaturkan di sini agar kita lebih memahami, menjiwai dan cakna mengenai keperluan mereka.

"Pada masa yang sama kita menghargai sumbangan mereka biarpun kecil kepada KDNK ekonomi negara, Itulah pendekatan terbaik," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement