
LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen peniaga yang didapati bersalah melanggar syarat lesen perniagaan mereka.
Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat berkata, terdapat segelintir peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan syarat perniagaan dengan mengambil pekerja asing ataupun bukan ahli keluarga di kawasan premis perniagaan milik MDL.
"Memang ada peniaga yang melanggar peraturan dan kita telahpun membatalkan lesen mereka yang dapati bersalah.
"Ruang perniagaan yang kita sediakan memang ruang untuk peniaga kecil tetapi didapati ada peniaga yang mempunyai empat hingga lima pekerja.
"Ini kita berasakan mereka sudah mampu dan sepatutnya keluar daripada medan niaga di peringkat MDL dan menyewa di tempat lain," ujarnya ketika ditemui pada program kebersihan anjuran MDL di Dataran Tebingan Sungai Limbang hari ini.
Turut sama ialah Setiausaha MDL Petrick Linggi Taboh.
Sufian berkata lagi, MDL mempunyai polisi tertentu yang perlu dipatuhi dalam memberi peluang dan kemudahan berniaga kepada peniaga.
Antara polisi berkenaan katanya, termasuk tidak boleh mengambil pekerja asing atau pekerja yang bukan daripada keluarga mereka sendiri seperti yang terkandung dalam syarat lesen perniagaan.
"Mereka tidak boleh mengambil pekerja asing ataupun yang bukan daripada keluarga mereka sendiri, sebaliknya mesti ahli keluarga terdekat yang terdiri daripada bapa, emak, suami isteri ataupun anak-anak, itu sahaja. Selain itu, tidak dibenarkan sama sekali," tegasnya.