
BINTULU: Malaysia dan Bahrain akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dalam sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu dalam kenyataannya pada Khamis berkata, bagi tujuan itu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah berbincang dengan kerajaan Bahrain mengenai hasrat menerokai bentuk kerjasama yang dapat dijalin bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke kedua-dua negara.
"Buat masa sekarang, antara hasil perbincangan yang membuahkan hasil merangkumi menggalakkan pertukaran budaya dari kedua-dua buah negara," ujanya.
Pada masa sama katanya, kedua belah pihak turut memfokuskan mengenai warisan, kesenian serta kebudayaan sekali gus membina hubungan yang menguntungkan kedua-dua negara.
Menurut Tiong, Malaysia amat komited menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Bahrain terutama dalam sektor pelancongan yang dilihat dapat melonjak sosioekonomi kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.
"Terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia tiga tahun lepas, sudah sampai masanya pelancongan global diperkasakan dari masa ke masa," jelasnya.
Beliau juga berkata lebih banyak program jalinan kerjasama berasaskan sektor pelancongan akan diterokai bagi mempromosikan budaya Bahrain dan Malaysia.
Melalui kerjasama dalam sektor pelancongan ini tambah beliau, akan memberikan nafas baharu buat industri pelancongan di negara ini serta situasi menang-menang buat kedua-dua negara pada masa hadapan.