Anda di sini

KBS Sabah sedia beri peruntukan sukan 4x4

Advertisement
 Fairuz ketika membuat pelepasan konvoi berkenaan di perkarangan MPT, pagi tadi.
PELEPASAN: Fairuz ketika membuat pelepasan konvoi berkenaan di perkarangan MPT, pagi tadi.

TAWAU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah bersedia memberikan peruntukan khas untuk membantu menaikkan sukan lasak pacuan empat roda (4x4) di negeri ini.

Pembantu Menteri KBS Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, pihaknya akan menyokong setiap aktiviti belia dan sukan yang dianjurkan di negeri ini.

Katanya, KBS Sabah sedaya upaya akan membantu supaya prestasi sukan di negeri ini terus berkembang dan boleh bersaing sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sukan lasak 4x4 ini semakin mendapat tempat dan digemari oleh orang ramai sehingga banyak tertubuhnya kelab di seluruh Sabah.

“Walaupun sebelum ini belum ada peruntukan yang diberikan, namun saya percaya KBS Sabah bersedia untuk menyediakan dana sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata demikian ketika merasmikan dan membuat pelepasan lebih 40 kenderaan pacuan empat roda Konvoi Kembara Merdeka DUN Sebatik, di sini hari ini.

Menurutnya, KBS Sabah juga pernah menganjurkan sukan ini pada tahun lalu di Kota Belud dan ia sangat diminati oleh pengemar aktiviti lasak.

“Justeru, sukan lasak ini juga perlu diambil perhatian sewajarnya supaya ia boleh dianjurkan secara besar-besaran di Sabah,” katanya.

 Fairuz bersama peserta konvoi bergambar kenangan.
KENANGAN: Fairuz bersama peserta konvoi bergambar kenangan.

Sementara itu, ADUN Sebatik, Datuk Hassan A. Ghani Pg. Amir berkata, penganjuran ini juga dapat menyatukan para pengiat dan kelab sukan lasak 4x4 di dalam satu program.

“Sukan ini semakin hangat dan mendapat tempat dalam kalangan peminatnya sehinggakan kelab-kelab yang ada turut menerima keahlian yang ramai sama ada di Tawau mahupun Kalabakan.

“Untuk makluman pada tahun 2010 lalu juga penganjur Borneo Safari turut melakukan majlis penutupannya di Tawau dan sehingga sekarang kelab 4x4 banyak ditubuhkan di daerah ini,” katanya.

Hassan berharap, penganjuran sukan lasak ini dapat dimasukkan dalam kalender tahunan KBS Sabah sebagai acara yang wajib dilaksanakan setiap tahun.

“Saya berharap pihak KBS Sabah dapat membantu mengembangkan aktiviti lasak ini supaya ia juga maju seperti sukan lain,” katanya.

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang dan Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Haji Mohd Ali.

  • oleh
  • Advertisement