
LIMBANG: Jumlah mangsa banjir di Limbang terus meningkat apabila 215 mangsa daripada 67 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Pementara (PPS) iaitu di Dewan Masyarakat Medamit dan Dewan Serbaguna Buluh Balui setakat petang Jumaat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui dibuka pada jam 2.30 petang Jumaat selepas Dewan Masyarakat Medamit dibuka Rabu lepas.
"PPS Dewan Serbaguna Buluh Balui menempatkan 16 mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki dan sembilan perempuan dari lima keluarga.
"Kesemua mangsa banjir adalah dari Kampung Buluh Balui, Ranggu, Batu Danau dan Pandak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir Dewan Masyarakat Medamit meningkat kepada 199 orang merangkumi 62 keluarga dari Kampung Baru Medamit dan Kampung Tanjong.
Daripada jumlah itu, 50 adalah lelaki dan 69 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki dan 21 kanak-kanak perempuan, dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki serta tujuh warga emas lelaki dan enam warga emas wanita, manakala bayi pula seramai 16 orang iaitu 10 lelaki dan enam perempuan.