Anda di sini

Ilmu Intervensi pengurusan dana bantu mahasiswa banteras rasuah

Advertisement
 Muhammad Izuddin memberi plak penghargaan kepada Alexender.
PENGHARGAAN: Muhammad Izuddin memberi plak penghargaan kepada Alexender.
 Peserta dan tetamu merakamkan gambar kenangan semasa program terbabit.
KENANGAN: Peserta dan tetamu merakamkan gambar kenangan semasa program terbabit.

KOTA KINABALU: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Belia Sabah berjaya menjalankan Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia Gerakan Antirasuah Anak Muda Zon Sabah bertempat di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Yang Dipertua PKPIM Cawangan Sabah Muhammad Izuddin Hassanudin berkata program bertujuan untuk membantu mencegah ketirisan dan salah laku dalam pengurusan dana persatuan, khususnya persatuan yang melibatkan belia. 

“Sepanjang program dijalankan, peserta diberikan pendedahan berkaitan risiko rasuah yang melibatkan belia, pemahaman berkaitan kesalahan rasuah serta cara-cara membuat aduan kes rasuah. 

“Pendedahan ini turut menanam nilai kepercayaan dan integriti dalam membina sebuah masyarakat Madani,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya seramai 102 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta daripada Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, IPG Kampus Kent, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Management and Science University (MSU) Kota Kinabalu, North Borneo University College (NBUC), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan juga daripada ahli PKPIM Sabah sendiri menghadiri program ini.

“Peserta diberikan pendedahan terhadap isu-isu ketirisan dalam tatakelola persatuan belia oleh pegawai SPRM dan berdasarkan borang maklum balas yang dijawab oleh peserta menunjukkan 80 peratus daripada peserta menyatakan minat terhadap pengisian diberikan. 

“Perkembangan positif ini dapat dikenal pasti kerana minat tinggi terhadap isu sebenar yang dikongsikan oleh pegawai SRPM yang berpengalaman dalam sektor siasatan,” katanya.

Tambahnya program ini juga sebuah medium untuk perkongsian Akta SPRM 2009 yang memberi kesedaran kepada pelajar yang terlibat dengan aktiviti kelab dan persatuan mahasiswa untuk memastikan laporan kewangan, rekod annual, laporan tahunan disediakan untuk majlis atau program yang melibatkan penggunaan wang.

“Pihak PKPIM Sabah juga bersetuju dengan seruan Timbalan Pengarah (Pencegahan), SPRM Sabah Alexander S. Kunghi dengan hasrat pentingnya melahirkan kepimpinan belia yang berlandaskan kejujuran dalam membentuk masyarakat yang bebas dari rasuah seterusnya menjadi pemimpin yang bersikap tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

“PKPIM Sabah juga sependapat dengan Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) yang hadir mewakili presiden MBS, yang menyatakan pentingnya mesej antirasuah yang disampaikan melalui pengurusan dana belia. 

“Beliau menitikberatkan persatuan atau kelab belia untuk tidak hanya mahir mencari dan meminta dana program, tetapi juga penting dalam membuat laporan kewangan dan menghantar laporan terbabit secara telus dan berintegriti,” katanya.

Katanya kesedaran dalam pengurusan dana ini adalah sebuah permulaan yang amat baik untuk melibatkan belia dalam menggerakkan agenda antirasuah.

“PKPIM Sabah mengharapkan kerjasama lebih lanjut dapat dijalankan bersama-sama dengan SPRM, MBS, dan persatuan dan kelab universiti dalam meluaskan lagi kesedaran antirasuah dalam konteks yang lebih pragmatik dan jelas untuk belia menjadi agen pembanteras rasuah yang lebih efektif,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement