Anda di sini

FGV hulur sumbangan kepada 701 keluarga mualaf

Advertisement
 Nazrul (kanan) menyerahkan replika cek tajaan program FGV Seikhlas Hati sebanyak RM840,700 kepada Zulkifli sambil diperhatikan Ruslan (dua kanan) dan Bungsu.
SERAH: Nazrul (kanan) menyerahkan replika cek tajaan program FGV Seikhlas Hati sebanyak RM840,700 kepada Zulkifli sambil diperhatikan Ruslan (dua kanan) dan Bungsu.
 Nazrul (dua kanan) dan Zulkifli (kanan) menyerahkan sampul berisi wang tunai kepada penerima sumbangan.
SUMBANGAN: Nazrul (dua kanan) dan Zulkifli (kanan) menyerahkan sampul berisi wang tunai kepada penerima sumbangan.

NABAWAN: Sejumlah 701 keluarga saudara baharu dari 11 buah kampung di sekitar Nabawan dan Kundasang menerima sumbangan ikhlas daripada FGV Holdings Berhad (FGV) bernilai RM840,700 sempena program FGV Seikhlas Hati, di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata sumbangan yang disampaikan berbentuk wang tunai, pek barangan makanan keluaran FGV seperti beras, gula dan minyak masak, kit kelengkapan ibadah serta peruntukan untuk pembinaan sebuah masjid dan sebuah rumah asnaf.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah hasil kerjasama antara FGV dan Muslim Care Malaysia (MCM) bagi tujuan membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Ruslan Muharam.

Turut hadir Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin, dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan.

Nazrul berkata, melalui program FGV Seikhlas Hati ini, FGV berpeluang untuk menyalurkan bantuan khususnya kepada individu yang baru memeluk Islam yang dihimpit kesusahan di sekitar kawasan terbabit.

“FGV berterima kasih kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan kerjasama yang sangat baik dalam mengenal pasti dan menyalurkan sebahagian daripada wang zakat wakalah perniagaan FGV kepada golongan yang memerlukan.

“Program ini mencerminkan komitmen FGV untuk membantu komuniti yang memerlukan di seluruh negara terutamanya di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya.

Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, FGV adalah antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) selama beberapa tahun ini.

FGV melunaskan kewajipan zakat perniagaan di semua negeri FGV beroperasi termasuk Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan RM35.3 juta bagi pengagihan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan tahun ini.

Dalam majlis itu, Nazrul turut menyerahkan replika cek sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi Sabah kepada Bungsu yang menerimanya bagi pihak MUIS.

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah ini adalah pusat penempatan semula saudara baru yang memeluk Islam sejak awal tahun 1970-an.

“Kesemua 701 keluarga yang menerima sumbangan pada hari ini adalah saudara baru yang memeluk Islam antara tempoh sebulan sehingga lima tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, MCM amat berbesar hati dan berterima kasih kerana mendapat kepercayaan FGV untuk menjadi rakan kerjasama bagi melaksanakan FGV Seikhlas Hati.

“MCM dan FGV sebelum ini pernah bekerjasama sebanyak dua kali sebelum ini dalam program Bantuan Mangsa Banjir di Pantai Timur pada tahun 2022 serta sumbangan komputer riba untuk penuntut universiti pada awal 2023.

“Alhamdulillah, kerjasama di Nabawan ini membabitkan skala lebih besar dari segi nilai kewangan yang diperuntukkan dan juga jumlah penerima manfaat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini termasuklah MUIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) dan Majlis Daerah Nabawan.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu membawa barangan sumbangan seberat 12 tan menggunakan pesawat pengangkut A400M secara percuma dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” katanya.

Terdahulu, Datuk Ruslan dalam ucapannya berkata sumbangan besar dan pertolongan yang diberikan oleh pihak FGV dan Muslim Care Malaysia kepada orang-orang Sabah amat dihargai.

Beliau juga berharap agar bakti murni dan keprihatinan FGV dan MCM dicontohi oleh syarikat korporat serta NGO lain.

  • oleh
  • Advertisement