Anda di sini

Dua beradik rentung dalam kebakaran di Manggatal

Advertisement
 Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini.
RENTUNG: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini.

KOTA KINABALU: Dua beradik ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur enam dan lima tahun ditemukan oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira 1 tengah hari.

Katanya, seramai 35 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kebakaran.

"Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air jentera.

"Api berjaya dikawal pada jam 2.53 petang dan kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

"Terdapat dua kanak-kanak yang berada berhampiran antara satu sama lain ditemukan rentung di bahagian ruang tamu rumah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa ditinggalkan bersendirian selepas ibu mangsa keluar bekerja manakala bapa mangsa ke hospital untuk menghantar anak buah menghadiri janji temu di hospital berkenaan.

“Adik beradik mangsa yang lain sedang bersekolah dan mangsa berumur enam tahun baru pulang dari sekolah manakala mangsa berumur lima tahun tidak bersekolah dan hanya berada di dalam rumah terbabit,” katanya 

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.25 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement