Anda di sini

China kekal rakan niaga penting kepada Sabah

Advertisement
 Juhar (empat kanan), Norlidah (tiga kanan), Christina (kanan), Joachim (tiga kiri) dan Huang (empat kiri) menyempurnakan acara memotong kek sebagai simbolik rasminya majlis itu.
RASMI: Juhar (empat kanan), Norlidah (tiga kanan), Christina (kanan), Joachim (tiga kiri) dan Huang (empat kiri) menyempurnakan acara memotong kek sebagai simbolik rasminya majlis itu.

KOTA KINABALU: Sabah kekal sebagai rakan niaga utama China apabila berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus jumlah perdagangan kepada RM6.56 bilion untuk enam bulan pertama 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama ekonomi dan perdagangan diantara Malaysia dan China tidak dinafikan semakin berkembang pada ketika ini.

"Oleh itu, saya mahu melihat lebih banyak perdagangan dan pelaburan dari China dilakukan di Sabah," katanya ketika berucap pada Sambutah Hari Kebangsaan China ke-74 di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua  Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, China kini adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dan negara ini berada di kedudukan atas setaraf dengan rakan perniagaan China lain dalam Asia Tenggara.

Katanya, masih banyak ruang boleh dilakukan untuk memperkasakan dan menyelaraskan strategi pembangunan Sabah dengan China, menggabungkan realisasi pemodenan negara itu dengan aspirasi Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Berkaitan dengan pelancongan, Hajiji menjelaskan ketibaan pelancong China semakin meningkat sejak pembukaan semula sempadan China pada Mac lepas.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini, sejumlah  17,040 (peningkatan 680.6 peratus) pelancong dari China dicatatkan, berbanding hanya 2,188 pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Sabah kini juga dihubungkan dengan tujuh bandar utama di China dengan 54 penerbangan seminggu dengan kapasiti tempat duduk penerbangan sebanyak 9,861. 

"Kami berharap dapat melihat lebih banyak rangkaian penerbangan diantara Sabah dan China, sekali gus meningkatkan ketibaan pelancong dari negara berkenaan ke negeri ini.

“Kami berbesar hati kerana Sabah kekal sebagai destinasi utama pelancong China untuk bercuti atau tujuan perniagaan.

"Sabah merekodkan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 1,198,536 secara keseluruhan dari Januari lalu sehingga Jun 2023.

"Ini adalah petanda baik kerana jumlah itu telah menjana resit pendapatan bernilai RM2.45 bilion untuk Sabah, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 69.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2022," katanya.

Hajiji berharap lebih banyak kerjasasama dapat dilakukan dengan China pada masa hadapan, khususnya dalam sektor seperti tenaga hijau, pembuatan, pertanian berteknologi tinggi dan pembangunan bandar pintar.

Katanya, ia penting dalam usaha mewujudkan faedah bersama serta situasi menang-menang diantara sektor awam dan swasta.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Huang Shifang.

  • oleh
  • Advertisement